Skip to main content

Bisnes

Jurang ekonomi 300 kali ganda, halangan bukan tarif kekang integrasi ASEAN - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul menegaskan jurang KDNK per kapita sehingga 300 kali ganda antara negara anggota serta halangan bukan tarif menjadi punca utama perdagangan intra-ASEAN kekal rendah pada paras 22.5 peratus. - Gambar Astro AWANI
Tengku Zafrul menegaskan jurang KDNK per kapita sehingga 300 kali ganda antara negara anggota serta halangan bukan tarif menjadi punca utama perdagangan intra-ASEAN kekal rendah pada paras 22.5 peratus. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jurang pembangunan ekonomi yang terlalu luas antara negara anggota, serta kewujudan halangan bukan tarif, terus menjadi punca utama perdagangan intra-ASEAN kekal rendah meskipun 99 peratus tarif telah dimansuhkan.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, selain faktor perlindungan industri domestik dan ketiadaan kesatuan monetari, perbezaan mutlak Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita antara negara anggota berada pada tahap yang amat ketara.

Mengulas lanjut mengapa perdagangan barangan antara negara ASEAN hanya mencatat 22.5 peratus pada 2024 berbanding perdagangan dengan China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU), Tengku Zafrul menjelaskan kekangan struktur tersebut turut menjejaskan mobiliti bakat dan perdagangan perkhidmatan.

Advertisement

"Tetapi ia terutamanya juga kerana jika anda melihat KDNK per kapita, PNK per kapita semua negara anggota ASEAN, satu berbanding yang lain, pada satu tahap saya tidak mahu menamakan negaranya, perbezaannya adalah sekitar 300 kali ganda. 

"Anda boleh lihat tahap pertumbuhan adalah satu perkara, tetapi tahap KDNK per kapita secara mutlak, jurangnya amat besar," katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam episod sulung aseanx Forum bertajuk ASEAN 2.0: Reimagining Integration in a Fractured World, yang dikendalikan oleh Pengasas aseanx, Jukhee Hong selaku moderator.

Forum tersebut turut menampilkan barisan panel terkemuka rantau ini iaitu Rakan Pengasas dan Pengerusi Ikhlas Capital, Tan Sri Nazir Razak; bekas Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Tan Sri Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria; Pengerusi Emeritus Dewan Perniagaan dan Perindustrian Filipina (PCCI), George T. Barcelon; Timbalan Pengerusi Eksekutif S. Rajaratnam School of International Studies (RSIS), Duta Ong Keng Yong; serta Ketua Pegawai Eksekutif Asia H/Advisors, Ang Shih-Huei.

Tengku Zafrul, yang pernah menerajui sektor perbankan sebelum menyertai kerajaan berkata, pengalamannya di kedua-dua pihak membolehkannya memahami kekecewaan sektor swasta, namun pada masa sama melihat cabaran sebenar di meja rundingan antara kerajaan.

Menggunakan analogi bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL), beliau menyifatkan persaingan pasaran terbuka sepenuhnya hanya adil apabila semua negara anggota berada pada tahap ekonomi yang setara.

"Sekarang ini, ia ibarat bermain bola sepak. Ia seperti Liga Perdana. Jika semua berada dalam Liga Perdana, maka pasukan divisyen dua atau tiga, tidak adil bagi mereka untuk bermain menentang pasukan Liga Perdana. Jadi apabila semua negara anggota ASEAN berada dalam liga yang sama, barulah lebih mudah untuk menjalankan perniagaan," katanya.

Dalam pada itu, bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu menyatakan keyakinan bahawa Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) mampu menjadi pemangkin bagi meningkatkan perdagangan barangan dan perkhidmatan serantau pada masa hadapan.

Menjawab persoalan mengenai kecenderungan beberapa negara anggota memeterai perjanjian perdagangan dua hala berbanding pelbagai hala, beliau menjelaskan perjanjian dua hala sering menawarkan akses pasaran yang lebih mendalam dan bermakna berbanding rundingan konsensus melibatkan 11 negara yang berada pada tahap pembangunan berbeza.

Must Watch Video

Advertisement