Skip to main content

Malaysia

Kerajaan teliti kesan gangguan Microsoft 365 terhadap kementerian, jabatan - Fahmi

Fahmi (foto) berkata setakat ini, laporan penuh dan terperinci mengenai gangguan tersebut sedang dikumpul oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA). -Foto Bernama
Fahmi (foto) berkata setakat ini, laporan penuh dan terperinci mengenai gangguan tersebut sedang dikumpul oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA). -Foto Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang meneliti kesan gangguan global perkhidmatan Microsoft 365 terhadap operasi setiap kementerian dan jabatan, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil. 

Menteri Komunikasi itu berkata setakat ini, laporan penuh dan terperinci mengenai gangguan tersebut sedang dikumpul oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

"Setakat pagi tadi, saya menunggu NACSA memberi pemakluman laporan mengenai insiden tersebut. Difahamkan, ia bersifat global dan bukan sekadar di satu negara ataupun satu kawasan tetapi mempunyai kesan yang besar.

Advertisement

"Setakat ini, belum dimaklumkan kementerian ataupun jabatan mana yang terkesan akibat penggunaan aplikasi penstoran awan dan aplikasi awan bagi Microsoft," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

NACSA hari ini memaklumkan gangguan perkhidmatan Microsoft 365, yang berpotensi menjejaskan pengguna di seluruh dunia termasuk Malaysia, disahkan berpunca daripada masalah teknikal dan bukan serangan siber.

Advertisement

Menurut NACSA, gangguan itu melibatkan aplikasi utama, iaitu Outlook, Teams, SharePoint, Microsoft 365 Copilot dan Defender XDR.

Microsoft pada Khamis memaklumkan gangguan perkhidmatan Microsoft 365 di beberapa rantau berpunca daripada sejumlah pelayan yang tidak dapat berfungsi secara tiba-tiba, bukan peningkatan trafik pengguna.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement