SEREMBAN: Kerja-kerja pembinaan jalan dan jambatan di Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang, Selangor dijangka dimulakan tahun hadapan selepas selesai isu pengambilan tanah.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ia termasuk isu membabitkan tanah milik persendirian di negeri ini, selain perlu mendapat persetujuan kerajaan Selangor berkaitan tanah jajarannya yang turut terlibat untuk projek berkenaan.

"Bukan mudah kita nak siapkan jambatan kalau tak disambung dengan jalan sedia ada selain ada tanah milik orang.

"Kerja-kerja pembinaan juga bukan melibatkan Negeri Sembilan sahaja, tetapi Selangor yang juga mempunyai isu pengambilan tanah laluan dan jajaran berkenaan.

"Apabila melibatkan dua negeri, Selangor pun kena buat kerja, Negeri Sembilan pun kena buat kerja.

"Kita nampaknya tak ada masalah, tapi ada kerja-kerja pengambilan tanah yang perlu dilihat, kelulusan telah ada, insya-Allah, tahun depan banyak kerja boleh berjalan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam negeri berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Yew Boon Lye (PH-Chuah) yang ingin tahu status pembangunan projek itu dan jangkaan pembinaan dimulakan.

Aminuddin berkata jajaran projek itu juga telah dipersetujui oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta dibentang dalam Mesyuarat Perancang negeri pada 19 Sept lepas untuk tujuan pemakluman kepada kerajaan negeri.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 berkata kerajaan akan membina jalan dan jambatan berkenaan, yang membabitkan kos projek RM160 juta, antara lain bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

-- BERNAMA