KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berhampiran Desa Melor, di Serendah, Selangor telah mengambil kira impak yang paling minimum, menurut Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

MRL, selaku pemilik projek ECRL, dalam kenyataan hari ini berhubung laporan sebuah portal berita bertajuk 'Lebih 60 Kediaman Terjejas Akibat Letupan Terowong ECRL?' semalam, memaklumkan projek itu juga mematuhi garis panduan dan syarat termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Pelan Kawalan Hakisan dan Endapan (ESCP).

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja letupan bagi pembinaan laluan terowong atau 'Adit' hanya boleh dilakukan dari 8 pagi hingga 6 petang pada Isnin hingga Jumaat di kawasan berhampiran Desa Melor, dan tiada operasi letupan dijalankan pada Sabtu dan Ahad.

"Pihak MRL turut mengesahkan terdapat kerja-kerja pembinaan Adit No.4 berhampiran Desa Melor dari Isnin hingga Jumaat ketika ini, namun jarak kawasan perumahan yang paling hampir dari lokasi Adit No.4 itu ialah kira-kira 300 meter (m) dan bukan 200m seperti dilaporkan sebuah portal berita," menurut kenyataan itu.

Menurut MRL kemajuan pengorekan Adit No.4 telah mencapai kedalaman 800m daripada 813m yang dirancang.

"Ini bermakna jarak lokasi letupan terkini hingga ke kawasan perumahan Desa Melor yang paling hampir dengan kawasan sedang dalam pembinaan projek ECRL adalah lebih daripada 1,000m (1 kilometer)," menurut kenyataan itu.

MRL memaklumkan projek ECRL juga akan mengambil data gegaran dan ledakan udara setiap kali letupan dijalankan.

Bagi bacaan gegaran dan ledakan tersebut, pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menetapkan bahawa bacaan gegaran tidak boleh melebihi 3mm/s, manakala bagi bacaan ledakan udara yang terhasil daripada aktiviti letupan tidak boleh melebihi 120dB.

"Bacaan yang berkaitan juga dihantar kepada pihak JMG bagi tujuan pemantauan dari semasa ke semasa. Namun, berdasarkan kepada rekod yang sedia ada, projek ECRL telah mematuhi perimeter yang disyaratkan oleh pihak JMG," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu memaklumkan kontraktor utama projek ECRL telah mengambil inisiatif dalam mewujudkan kerjasama bersama pihak persatuan penduduk di kawasan tersebut dalam menangani masalah keretakan pada struktur rumah.

Satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara kontraktor utama projek ECRL dengan pihak persatuan penduduk berkenaan pada 18 Nov lepas, antaranya projek ECRL bersetuju menyediakan sejumlah dana kepada pihak persatuan sebagai bantuan khas bagi meringankan beban penduduk yang menghadapi masalah keretakan pada kediaman mereka.

-- BERNAMA