LANGKAWI: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendirian bahawa beliau terbuka menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk Perikatan Nasional (PN), khususnya dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya yang juga Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), perkara terpenting dalam kerjasama terbabit adalah ia tidak melibatkan individu yang digelarnya "penyangak".

Beliau secara berseloroh turut menyifatkan seluruh rakyat Malaysia mengenali susuk tubuh "penyangak" yang dimaksudkannya.

"Bukan nak sokong (PN), (tetapi) kita nak ada (jalinan) kerjasama kalau boleh dengan (PN) kalau tiada penyangak ini semua.

"(Kalau) tak dak (penyangak) kita boleh kiralah (untuk kerjasama), pasal saya dulu (pernah) bekerjasama dengan parti lawan pun, kalau tak dak penyangak saya boleh runding.

"(Siapa penyangak yang dimaksudkan), kalau you tak tau you tak payah duduk di Malaysia."

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih, di Masjid Al-Ehsan Temonyong, Langkawi pada Jumaat.

Terdahulu, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata PN bersedia menerima mana-mana individu menyertai kerjasama itu termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, jelas beliau, kerjasama berkenaan perlu mengikut semua yang ditetapkan oleh perlembagaan parti tanpa apa-apa syarat.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menyatakan kesediaan untuk menyertai PN sekiranya individu yang bergelar “penjenayah” tidak berada dalam gabungan parti tersebut.

Menerusi wawancara bersama sebuah portal berita, Ahli Parlimen Langkawi itu turut mengakui bahawa ada usaha yang dilakukan untuk membawanya menyertai gabungan PN.