JOHOR BAHRU: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membentangkan kertas kerja Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung pengambilan dan perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) esok.

Menterinya Datuk Seri M Saravanan berkata ia bagi mendapat persetujuan Kabinet sebelum dibawa ke pihak Indonesia untuk MoU berkenaan ditandatangani.

"Ada beberapa isu yang perlu diatasi seperti isu gaji minimum, dari segi skop kerja dan menggunakan sistem yang sah. Ketiga-tiga ini kita telah bersetuju dan saya akan bawa ke Kabinet esok dan kalau bersetuju kita akan panjangkan ke Jakarta untuk menandatangani MoU tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Mencarum Perkeso Usahawan TEKUN di sini hari ini.

Sebelum ini, Saravanan dalam kenyataan berkata mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan supaya MoU berhubung PDI perlu segera dimeterai.

Menurutnya perkara mengenai PDI telah dibincangkan dengan secara mendalam dalam beberapa siri mesyuarat Jemaah Menteri termasuklah pada 9 Feb lepas.

-- BERNAMA