KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan, tiada sebarang unsur pilih kasih dalam menyiasat individu yang dikaitkan dalam Kertas Pandora.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, kesemua senarai nama yang dinyatakan di dalam Kertas Pandora sedang dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam masa sama, jelas Azalina, terdapat siasatan yang dijalankan tanpa pengetahuan umum.

“Untuk makluman Yang Berhormat, SPRM bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan dan bebas menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan atau pengaruh daripada pihak luar.

“Dalam isu ini, kualiti maklumat dan dokumen yang diperolehi diutamakan untuk penyiasatan bagi tindakan pembuktian kes,” katanya dalam jawapan bertulis pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang ingin tahu mengapa 12 individu yang disebut dalam Kertas Pandora termasuk beberapa pemimpin dalam Kabinet Kerajaan Madani tidak disiasat, sebaliknya hanya memberi fokus kepada tokoh yang dilihat mesra kepada pembangkang.

Azalina menambah, SPRM tidak dapat mendedahkan butiran siasatan tersebut berdasarkan subseksyen 29(4) Akta SPRM (Akta 694).

Akta berkenaan menyatakan bahawa mana-mana siasatan tersebut hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang sehinggalah orang tertuduh dipertuduh di mahkamah.

Sementara itu menjawab pertanyaan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) berhubung isu sama, Azalina sekali lagi menegaskan semua senarai nama yang dinyatakan di dalam Kertas Pandora sedang dalam siasatan SPRM.

“Satu pasukan khas juga telah ditubuhkan di mana dikoordinasikan oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

“Ia merangkumi Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Labuan Financial Services Authority (FSA) yang bertujuan untuk menganalisa identiti nama-nama yang tersenarai dalam pendedahan Kertas Pandora oleh International Consortium Of Investigation Journalist (ICIJ),” tambah beliau.

Kertas Pandora terdiri daripada lebih 11.9 juta dokumen dan rekod lain daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan mengurus amanah atau syarikat cengkerang di kawasan bebas cukai di seluruh dunia.