KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat  bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkaitan dakwaan salah guna kuasa dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata siasatan ke atas Mohamed Apandi dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 217 Kanun Keseksaan dan siasatan masih berjalan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Seksyen 217 Kanun Keseksaan memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Noorsiah juga mengesahkan menerima laporan dibuat Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berhubung dakwaan itu kelmarin.

Mohamed Apandi ketika dihubungi Astro AWANI bagaimanpun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

"No comment," katanya ringkas.

Terdahulu, media melaporkan Charles membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, dekat sini pada Rabu yang mendakwa Mohamed Apandi menyalahgunakan kuasa semasa menjadi Peguam Negara ketika negara di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Charles dilaporkan berkata, Mohamed Apandi terbukti menyalah guna kuasa selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azimah Omar menolak saman fitnah difailkan Apandi terhadap veteran DAP, Lim Kit Siang.