KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam diiringi beberapa kenderaan polis dan kenderaan dari Jabatan Penjara tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini sekitar 8.42 pagi.

Bekas Perdana Menteri itu hadir bagi mendengar keputusan berhubung pertuduhan meminda laporan audit syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beberapa penyokong bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut berada di luar mahkamah.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda dilihat tiba sekitar pukul 9.14 pagi. 

Mahkamah Tinggi di sini akan memutuskan sama ada kedua-dua mereka dibebaskan atau dipanggil membela diri atas pertuduhan meminda laporan audit syarikat strategik negara itu.

Najib, 69 tahun, selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

Beliau didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB dimuktamadkan Ketua Audit Negara, dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu untuk mengelak dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Sebelum ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram tetapi bekas Hakim Mahkamah Persekutuan berusia 79 tahun itu meninggal dunia pada 29 Januari lalu.

Ia diteruskan oleh pasukan pendakwaan sedia ada antaranya Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Pihak pembelaan pula diwakili oleh peguam, Tan Sri Shafee Abdullah bagi pihak Najib, sementara Arul Kanda diwakili oleh Datuk N Sivananthan.

Pendakwaan menutup kesnya pada 7 September tahun lalu selepas memanggil 16 saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan berlangsung selama 43 hari bermula hari pertama pembukaan perbicaraan kes pada 18 November 2019.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.