KUALA LUMPUR: Tindakan terpuji Afrika Selatan mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Gaza menunjukkan komitmen negara itu terhadap keadilan dan akauntabiliti, kata Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, IAIS mengiktiraf komitmen bersejarah Afrika Selatan dalam memerangi rejim apartheid, membuat persamaan dengan perjuangan menentang ketidakadilan di Semenanjung Gaza dan Palestin secara keseluruhan.

"Usaha bersama ini mencerminkan tanggungjawab bersama masyarakat antarabangsa dalam menangani pencabulan hak asasi manusia dan memupuk keamanan yang berkekalan di rantau itu," katanya.

IAIS Malaysia dalam sokongan teguhnya terhadap inisiatif itu, turut memuji kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan tegas beliau terhadap perjuangan Palestin dan solidariti dengan usaha Afrika Selatan mencari penyelesaian yang adil dan aman terhadap konflik Palestin-Israel.

"Kami berharap negara-negara lain akan mencontohi langkah Afrika Selatan dalam usaha menghentikan serangan kejam ke atas Gaza," katanya.

Institut itu bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam menyediakan sebarang bantuan yang diperlukan untuk menegakkan prinsip keadilan dan hak asasi manusia dengan menekankan kepentingan proses undang-undang yang adil dan saksama di ICJ.

Afrika Selatan memfailkan kes itu pada Disember, menuduh Israel melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza dan meminta ICJ mengeluarkan langkah sementara untuk melindungi rakyat Palestin, termasuk menyeru Israel segera menghentikan serangan.

Afrika Selatan membentangkan senarai dakwaan tindakan genosid oleh Israel semasa hari pertama perbicaraan pada Khamis manakala Israel membela diri pada Jumaat.

Israel membunuh lebih daripada 24,000 rakyat Palestin di Gaza sejak 7 Okt lepas. Kempen ketenteraan itu juga menyebabkan pemindahan besar-besaran, kemusnahan dan kelaparan.

-- BERNAMA