Buat pertama kali kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini merekodkan kurang daripada 1,000 selepas mencatatkan 986 kes pada Ahad.

Selain itu, kes baharu COVID-19 di Malaysia turut kembali mencatatkan satu angka apabila sebanyak lapan kes dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka berkenaan menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,453.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 telah kurang 1,000 iaitu 986. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Ingin dimaklumkan daripada lapan kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan bukan warganegara Malaysia merupakan pemastautin tetap.

“Daripada enam kes penularan di dalam negara, empat kes adalah bukan warganegara manakala dua kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia.

“Empat kes tersebut melibatkan kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur II. Keempat-empat kes tersebut adalah warganegara Bangladesh.

“Perincian kes penularan dalam negara di kalangan warganegara adalah; satu kes Influenza Like Illness (ILI) di Bintulu, Sarawak melibatkan pelajar politeknik. Kes kedua adalah kes saringan Pusat Jagaan warga emas Melaka Tengah,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Ahad.

Jelas beliau, sebanyak 35 kes pulih dan dibenarkan keluar dari wad dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 7,346 kes atau 86.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham memaklumkan satu lagi kematian berkaitan COVID-19 direkodkan di negara ini, menjadikan jumlah kumulatif kematian di negara ini meningkat kepada 121 kes atau 1.43 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-121 (kes ke-7468) merupakan lelaki warganegara India yang merupakan orang kena tahan di depoh tahanan Imigresen Bukit Jalil berumur 67 tahun.

“Beliau mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan buah pinggang. Beliau didpati tidak sedarkan diri dan segera dibawa ke Hosital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Beliau telah meninggal dunia pada 12 Jun 2020 dan saringan ujian COVID-19 didapati positif. Keputusan penuh bedah siasatan masih dalam siasatan,” katanya.