KUALA LUMPUR: Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyifatkan perbuatan khianat yang berlaku terhadap kediaman Datuk Ngeh Koo Ham sebagai satu penghinaan terhadap semangat perpaduan dan keharmonian.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan kejadian itu dan meminta rakyat Malaysia untuk terus mengukuhkan keamanan, ketahanan komuniti serta keselamatan secara bersama.

"Pada masa sama, saya turut menyeru semua pihak untuk tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh menggugat sensitiviti masyarakat berbilang bangsa, terutama yang berkaitan dengan aspek kaum, agama serta budaya," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Aaron menambah, usaha mengukuhkan dan menyatupadukan rakyat Malaysia sentiasa menjadi agenda utama kerajaan Perpaduan.

Beliau turut percaya bahawa solidariti dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia akan menjadi benteng utama menangani ancaman terhadap perpaduan dan keharmonian negara

Katanya, keamanan negara dan perpaduan rakyat adalah tanggungjawab bersama yang wajib dipikul oleh semua.

Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan penemuan botol disyaki mengandungi 'molotov cocktail' dipercayai punca kebakaran tiga kereta milik Koo Ham di kediamannya.

Menurutnya, pemeriksaan polis di tempat kejadian mendapati, kebakaran itu mengakibatkan kereta Mercedes Benz musnah terbakar.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.