Skip to main content

Sukan

Domenicali puji kerjasama Malaysia-Bahrain jayakan perlumbaan unik F1

Domenicali berkata, F1 juga menerima sambutan hangat sekembalinya ke Malaysia dan SIC buat kali pertama dalam tempoh hampir sedekad, yang menyaksikan sukan itu melalui perkembangan dan transformasi yang signifikan.
Domenicali berkata, F1 juga menerima sambutan hangat sekembalinya ke Malaysia dan SIC buat kali pertama dalam tempoh hampir sedekad, yang menyaksikan sukan itu melalui perkembangan dan transformasi yang signifikan.

Advertisement

SEPANG: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali memuji kejayaan merealisasikan penganjuran F1 Grand Prix Bahrain Gulf Air di Malaysia 2026 dalam tempoh hanya dua bulan sebagai pencapaian luar biasa. 

Beliau berkata, kerjasama erat antara Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi faktor utama kejayaan mempamerkan gambaran sebenar GP Bahrain di Sepang.

“Kami merasai pengalaman GP Bahrain yang luar biasa di Malaysia dan saya menghargai semangat serta komitmen tidak berbelah bahagi Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa terhadap perlumbaan ini dan F1.

“Visi, kesungguhan dan pemikiran tangkas baginda membolehkan kita menikmati gambaran sebenar acara Bahrain pada hujung minggu ini dan ia disempurnakan hanya dalam tempoh singkat, iaitu dua bulan.

“Pasukan baginda telah bekerjasama dengan pasukan Litar Antarabangsa Sepang untuk bersama-sama menyahut cabaran ini,” katanya dalam kenyataan. 

Domenicali berkata, F1 juga menerima sambutan hangat sekembalinya ke Malaysia dan SIC buat kali pertama dalam tempoh hampir sedekad, yang menyaksikan sukan itu melalui perkembangan dan transformasi yang signifikan.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada peminat sukan itu kerana mewujudkan suasana amat meriah sepanjang hujung minggu perlumbaan.

“Saya mesti berterima kasih kepada peminat, semangat dan minat mereka terhadap sukan ini sangat jelas. Tanpa mereka, sukan kami tidak bermakna. 

“Komitmen mereka ketika kami beralih untuk menganjurkan perlumbaan di sini amat luar biasa. Kami berharap mereka pulang dengan kenangan seumur hidup mengenai detik yang benar-benar unik dalam sejarah F1,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Mohammed Ben Sulayem juga senada bahawa kejayaan penganjuran GP itu dalam tempoh masa singkat mencerminkan kerjasama erat antara M

“Melihat sambutan luar biasa peminat, terutamanya dalam tempoh masa singkat untuk penganjuran acara ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan. Kejayaan ini juga menunjukkan kemahuan yang kuat antara Malaysia dan Bahrain untuk menjayakan GP yang unik ini,” katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif BIC, Shaikh Salman Isa Al Khalifa berkata, acara itu berjaya membawa inti pati GP Bahrain ke Malaysia selain menjadi platform untuk mempamerkan budaya dan hospitaliti kerajaan itu kepada peminat di rantau ini.

Beliau berkata, penganjuran acara berskala besar ini dalam tempoh singkat tidak mungkin tercapai tanpa kerjasama kukuh BIC dengan SIC serta sokongan daripada F1, FIA, Persekutuan Motor Bahrain dan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia.

“Hujung minggu lepas menjadi bukti kerjasama pasukan, dedikasi dan penyatuan dua negara sebagai detik bersejarah bagi F1,” katanya.

Pengerusi SIC, Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata, kejayaan penganjuran itu membuktikan kejayaan yang mampu dicapai menerusi kerjasama erat dan visi bersama.

Beliau berkata, BIC dan SIC bekerjasama rapat sejak dua bulan lepas dan disokong oleh kerajaan serta pihak berkepentingan lain bagi menganjurkan perlumbaan bertaraf dunia yang kekal dalam ingatan peminat.

“Pencapaian ini bukti kepada apa yang boleh disempurnakan apabila organisasi, komuniti dan rakan kongsi bersatu dengan visi yang sama,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement