JOHOR BAHRU: Tiga suspek berusia 24 hingga 39 tahun ditahan reman sehingga Sabtu depan, bagi membantu siasatan membabitkan penemuan rangka manusia serta tengkorak yang dipercayai Mila Shamila Samsusah, atau Bella, 32, yang sebelum ini dilapor hilang.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Polis Ismail Dolah berkata, tempoh reman yang bermula Sabtu itu membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Bedah siasat telah dibuat pagi tadi (Sabtu) oleh Pegawai Perubatan Forensik di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

"Sampel patologi dari Forensik HSI telah diambil dan akan dihantar kepada Jabatan Kimia untuk perbandingan DNA bagi mengenal pasti identiti si mati.

"Manakala reman telah dibenarkan ke atas tiga suspek sehingga 27 Januari depan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Rangka tak sempurna dalam rumah terbengkalai dipercayai Bella

Terdahulu, polis menemukan rangka manusia termasuk tengkorak dalam sebuah rumah terbengkalai di Kampung Batu 7, Tongkang Pecah, di Batu Pahat, sekitar jam 2 petang, Jumaat.

Penemuan itu dijangka mampu merungkai misteri kehilangan ibu tunggal, Bella, yang gagal dikesan sejak 14 Disember lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rangka berjaya ditemui oleh pihaknya selepas dipandu salah seorang suspek bagi kes berkenaan.