Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengingatkan orang ramai agar tidak membuat andaian sendiri berhubung pembunuhan Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Mohd Raffli Ab Malik.

“Yang pertamanya, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Ketua Penguatkuasa JAIP yang telah pun meninggal kerana tembakan tiga das semalam (Ahad).

“Tetapi kita harapkan dalam masa yang sama masyarakat termasuk media dan orang ramai tidak membuat andaian-andaian yang tersendiri kerana kes ini sedang disiasat polis dan kita tidak patut mencampuri urusan penyiasatan oleh pihak polis,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, pada Isnin.

Menurut beliau, Majlis Agama Islam dalam masa yang sama sedang melihat secara dekat kes ini kerana ini merupakan satu kes yg luar dari kebiasaan kepada seorang penguatkuasa majlis agama Islam, yang disifatkannya tidak pernah berlaku di negeri-negeri lain sebelum ini.

“Mungkin andaian-andaian ini akan menyebabkan gangguan terhadap tumpuan polis dalam menyiasat kes yang sedang berjalan,” tegasnya.

Selain itu, Jamil Khir juga memberitahu pihaknya sedang memikirkan secara mendalam supaya pegawai-pegawai penguatkuasa di tempat lain juga perlu diberikan perhatian keselamatan.

“Paling tidaknya pun mungkin barangkali kawasan perumahan mereka ada jadual rondaan polis dan buku yg ditandatangani oleh pihak polis.

“Ini di antara perkara-perkara yang elok untuk dipertimbangkan demi menjamin keselamatan dan menjaga pegawai penguatkuasa ini supaya nanti jangan ada perasaan pengabaian dan juga (perasaan bahawa) keselamatan mereka terancam,” katanya.

Ditanya samada pengikut-pengikut Syiah kini telah bertindak ganas dengan menjadikan penguatkuasa agama Islam sebagai sasaran mereka, Jamil Khir berkata, "Biarlah polis yang membuat keputusan tersebut."

“Biar polis buat keputusan yang akhir dalam penyiasatan mereka terlebih dahulu dan elok perkara itu dibawa ke peringkat pendakwaan,” kata beliau.

Beliau turut mengkitiraf kecekapan pihak polis dalam memberkas penjenayah dengan kejayaan mereka menangkap suspek pembunuh pegawai bank Ambank, pada Ahad.

Semalam, Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan satu lagi kes tembak di mana kejadian kali berlaku di Pahang melibatkan Mohd Raffli.

Menurut laporan, Allahyarham telah ditembak sebanyak tiga das peluru dan mati serta merta di kawasan rumahnya selepas diserang oleh individu-individu yang tidak dikenali.

Polis telah mengesahkan kematian Allahyarham Raffli Ab Malik, sebagai bermotifkan bunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Zakaria Ahmad berkata, semasa kejadian pada 1.55 tengah hari itu, mangsa yang berumur 49 tahun sedang berehat bersama isteri dan seorang anaknya di ruang tamu.

Susulan kejadian, wujud sebaran serta khabar angin yang mendakwa insiden tersebut ada kaitan dengan kumpulan Syiah yang sedang giat dibanteras oleh Mohd Raffli dan JAIP.

Pada akhir bulan lepas, JAIP telah menahan seorang imam yang dipercayai pengikut ajaran Syiah ditahan di kuarters kakitangan ladang Risda Pekoti Timur.

Allahyarham Raffli yang memberi ulasan tentang penangkapan pada masa itu berkata, imam berumur 64 tahun itu disyaki mengamalkan ajaran itu sejak enam tahun lepas.