Skip to main content

Malaysia

Kes dadah: Bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah diarah masuk penjara hari ini

KUALA LUMPUR, 17 Julai -- Bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah (kiri) dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram dua tahun lalu.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara terhadap Ismahalil itu berkuat kuasa serta-merta. - fotoBERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini melepas dan membebaskan bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah daripada pertuduhan mengedar dadah, sebaliknya menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadapnya. 

Memetik laporan akhbar tempatan, keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Noorin Badaruddin bersama Datuk Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashim Abdul Hamid. 

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa serta-merta. 

Dalam penghakiman yang disampaikan Radzi, panel hakim berpendapat terdapat alasan yang mencukupi untuk campur tangan terhadap dapatan Hakim Mahkamah Tinggi pada akhir kes pembelaan. 

Menurut panel itu, responden gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, selain gagal mematahkan anggapan pemilikan dan pengedaran dadah yang berada di bawah kawalannya.

"Terdapat kekhilafan menilai secara wajar keterangan pihak pembelaan dan mendapati pembelaan berjaya membangkitkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan. 

"Sebaliknya, kami mendapati responden gagal membangkitkan keraguan munasabah atas kes pendakwaan dan gagal memintas anggapan pemilikan dan pengedaran dadah berada di bawah kawalannya. 

"Pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, kami membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengenepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan responden (Ismahalil) dari pertuduhan," katanya. 

Justeru, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan membenarkan rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini. 

Peguam mewakili Ismahalil, Hermes Media Putra Ibrahim memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya yang juga pencari nafkah tunggal bagi keluarga. 

"Saya memohon hukuman yang ringan terhadap responden berdasarkan faktor usia serta tanggungan pendapatan yang tinggi perlu ditanggungnya," katanya. 

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz dalam prosiding itu memohon pertimbangan hukuman penjara terhadap responden. 

Pada 17 Julai 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Ismahalil, 53, daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis selepas memutuskan pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan. 

Ismahalil, yang juga pengasas Bapakku FM, didakwa mengedar dadah jenis kanabis di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, pada September 2023. 

Berikutan itu, pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Must Watch Video

Advertisement