KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya mengenal pasti sindiket dadah yang terlibat di Malaysia dan luar negara, termasuk penglibatan beberapa penama dalam rangkaian berkenaan hasil sesi soal siasat di Jakarta, Indonesia.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dapatan itu diperoleh hasil pertemuan selama dua hari dengan subjek yang turut memberikan kerjasama baik kepada pasukan siasatan.
“Perjumpaan tersebut memberikan hasil dalam beberapa aspek seperti menjejak ahli-ahli sindiket dadah yang terlibat di Malaysia, menyalurkan maklumat penting berkaitan rangkaian sindiket dadah antarabangsa kepada agensi dadah negara-negara berkaitan.
“Mendapat tahu bagaimana penama dapat melepasi pemeriksaan di KLIA dan mengetahui aliran kewangan sindiket dalam dan di luar negara,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Hussein berkata, pasukan JSJN juga menerima kerjasama sangat baik daripada Polis Republik Indonesia (POLRI) bagi membolehkan sesi pertemuan dan soal siasat dijalankan.
Jadual asal pertemuan ditetapkan pada 12 dan 13 Ogos, namun POLRI memberikan ruang kepada pasukan JSJN untuk melanjutkan sesi berkenaan sehari lagi sehingga hari ini.
“Pihak POLRI turut memberikan ruang untuk sesi pertemuan dilanjutkan sehari lagi sehingga 14 Ogos, manakala subjek juga memberikan kerjasama yang baik sepanjang sesi berkenaan,” katanya lagi.
Sebelum ini media melaporkan pasukan penyiasat Malaysia telah diberikan akses oleh pihak berkuasa Indonesia untuk mengambil keterangan dan menjalankan siasatan terhadap juruterbang rakyat Malaysia yang ditahan di Jakarta berkaitan kes penyeludupan dadah, bulan lepas.
Pada 29 Julai lepas, seorang juruterbang warga Malaysia ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup sejumlah besar dadah termasuk lebih 70,000 pil ekstasi seberat 25 kilogram.
Lelaki berusia 39 tahun itu dilaporkan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH727 dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum ditahan di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.