Skip to main content

Malaysia

Kes dadah: Malaysia diberi akses siasatan juruterbang di Jakarta - Saifuddin Nasution

BUKIT KAYU HITAM, 30 Julai -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi penerangan ketika sidang media pada Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti Felda Sihat Kedah Sejahtera di Felda Bukit Tangga, hari ini._BERNAMA
Saifuddin Nasution berkata perkembangan itu membolehkan siasatan lanjut dijalankan meskipun masih berada di peringkat awal. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

SUBANG: Pasukan penyiasat Malaysia telah diberikan akses oleh pihak berkuasa Indonesia untuk mengambil keterangan dan menjalankan siasatan terhadap juruterbang rakyat Malaysia yang ditahan di Jakarta berkaitan kes penyeludupan dadah, bulan lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkembangan itu membolehkan siasatan lanjut dijalankan meskipun masih berada di peringkat awal.

Beliau berkata pihaknya telah menerima taklimat awal daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan mengenai status terkini proses tersebut.

“Masih dalam proses, biar mereka lengkapkan dahulu proses itu dan saya juga akan berkongsi apa-apa perkembangan baharu daripada siasatan itu nanti,” katanya pada sidang media selepas majlis penerimaan Helikopter AW189 Maritim Malaysia di Stesen Udara Maritim Subang di sini, hari ini.

Beliau berkata susulan itu, satu pelan komprehensif untuk menambah baik kawalan keselamatan di lapangan terbang negara dijadual dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Rabu depan.

Saifuddin Nasution berkata beliau telah meneliti taklimat daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Awang Alik Jeman yang mempengerusikan mesyuarat pelbagai agensi bagi memperincikan pelan tersebut.

“Saya memberikan tempoh dua minggu sejak minggu lepas untuk mereka memperincikan pelan ini. Jika tiada sebarang perubahan, saya akan membentangkannya pada mesyuarat Kabinet akan datang bersama-sama Menteri Pengangkutan,” katanya. 

Pada 29 Julai lepas, seorang juruterbang warga Malaysia ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup sejumlah besar dadah termasuk lebih 70,000 pil ekstasi seberat 25 kilogram.

Lelaki berusia 39 tahun itu dilaporkan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH727 dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum ditahan di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement