JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa, menangguhkan keputusan kes seorang ibu tunggal bersama rakan serumahnya, yang didakwa atas dua pertuduhan menganaiya dan mengabaikan anak kandungnya, kepada 1 November nanti.

Tarikh itu diputuskan susulan Hakim VM Mabel Sheela yang sepatutnya menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh, Nurul Asyiqin Mohamad Zahir, 27, dan Awiin Chua, 30, hari ini, mengambil cuti sakit.

Terdahulu, tertuduh masing-masing tiba sekitar jam 8.50 pagi, dilihat tenang ketika hadir ke perkarangan mahkamah dengan diiringi polis.

Pada 16 Ogos lalu, kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Bagaimanapun, pada 27 September, mereka menukar pengakuan kepada bersalah, selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Hakim Mabel Sheela.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa mengabai dan menganiaya, sehingga mendatangkan kecederaan fizikal kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, yang juga anak kedua Nurul Asyiqin.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Jalan Wau Kikik 7, Bandar Layangkasa, Pasir Gudang, antara 1 Julai hingga 9 Ogos lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.