KUALA LUMPUR : Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia menegaskan akan melancarkan perhimpunan besar-besaran di Permatang Pauh dan Bagan Datuk dalam masa terdekat sekiranya kerajaan gagal mengambil tindakan ke atas tuntutan mereka termasuk untuk membuka semula kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, perkara itu telah diputuskan ahli sekretariat berkenaan pada perhimpunan di ibu negara pada Sabtu.

“Ini bukan satu ugutan sebaliknya satu ingatan kepada kerajaan.

“Kita akan lakukan (perhimpunan) sehingga selesai (tuntutan). Kalau Ahmad Zahid tak didakwa, kita akan teruskan perhimpunan seumpama ini,” katanya kepada pemberita ketika perhimpunan di sini pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris dan aktivis pembangkang, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard.

Mengulas lanjut, Tun Faisal berpendapat, pengundi yang mengundi Ahmad Zahid dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga kecewa dengan apa yang sedang berlaku dalam politik Malaysia.

Sekretariat berkenaan hari ini membuat laporan bagi mendesak agar satu siasatan menyeluruh dibuat ke atas tindakan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.

Tun Faisal berkata, ia susulan beberapa perkara yang meragukan dan beliau berpendapat perkara itu telah dimanipulasi dari aspek perundangan dan eksekutif.

“Justeru saya memohon satu siasatan penuh dilakukan dan memohon saksi-saksi penting seperti bekas Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran; bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Dasuki Mohktar dipanggil,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Tun Faisal turut memohon agar siasatan dilakukan ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kertas siasatan Timbalan Perdana Menteri itu.