Skip to main content

Malaysia

Kes FICSB: SPRM mohon kebenaran penjara rakam keterangan bekas Pengerusi Felda

PUTRAJAYA, 10 Sept - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman bercakap pada sidang media dipejabatnya hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, individu berkenaan antara bekas pengurusan Felda yang dikenal pasti sebagai saksi utama dalam siasatan yang sedang dijalankan. - Astro AWANI
Advertisement

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mendapatkan kebenaran Jabatan Penjara Malaysia untuk merakam keterangan bekas Pengerusi Felda yang kini menjalani hukuman penjara, bagi membantu siasatan berkaitan aset dan pelaburan Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FICSB).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata individu berkenaan antara bekas pengurusan Felda yang dikenal pasti sebagai saksi utama dalam siasatan yang sedang dijalankan.

“Hala tuju penyiasatan kami terhadap Felda kini adalah kami merakamkan percakapan saksi-saksi utama bekas pengurusan Felda yang mana kita sedia maklum bekas pengerusinya sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan rasuah sebelum ini.

“Kami akan cuba mendapatkan kerjasama daripada pihak penjara bagi tujuan perakaman kenyataan terhadap individu yang dinyatakan itu,” katanya kepada pemberita selepas sesi wawancara di Ibu Pejabat SPRM, di sini, pada Khamis.

Pada 26 Jun lalu, bekas Pengerusi Felda itu kekal menjalani hukuman penjara enam tahun dan didenda RM15.45 juta selepas disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3.09 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.

Tokoh politik itu sebelum ini didakwa pada 2018 atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3.09 juta untuk dirinya sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian MPHS di Kuching oleh FICSB pada harga RM160 juta.
 

Must Watch Video

Advertisement