JOHOR BAHRU: Penyakit Kaki, Tangan dan Mulut (HFMD) di Johor mencatat 640 kes tahun ini yang mana jumlah itu meningkat sebanyak 6.8 kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan, Ling Tian Soon berkata, pada tahun lepas terdapat 94 kes HFMD dalam tempoh minggu epid 18/2022.

Katanya, peningkatan itu telah dijangka pada tahun ini ekoran kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dan selari dengan peningkatan kes itu di negara ini.

"Walau bagaimanapun, situasi masih terkawal memandangkan bilangan ini adalah rendah berbanding situasi pra COVID-19, iaitu 1,015 wabak pada tempoh yang sama tahun 2019.

"Di Johor, kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0 hingga enam tahun iaitu sebanyak 614 kes (96 peratus), diikuti oleh kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun iaitu 22 kes (3 peratus), dan selebihnya adalah berumur lebih daripada 13 tahun.

"Sehingga kini, sebanyak 24 wabak HFMD dilaporkan. Daerah tertinggi ialah Johor Bahru iaitu 10 kes, diikuti daerah Kluang (6) dan daerah Kota Tinggi, Kulai dan Segamat  (masing-masing 2 kes)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Tian Soon, majoriti lokasi penularan berlaku di taska dengan catatan 17 wabak, diikuti oleh tadika (3 wabak), rumah persendirian (2 wabak) dan pusat jagaan kanak-kanak (1 wabak).

Katanya kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke sepuluh hari.

"Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, edema pulmonari dan myocarditis.

"Memandangkan kebanyakan penularan berlaku di institusi penjagaan kanak-kanak, Jabatan Kesihatan Negeri Johor ingin menegaskan agar semua pengusaha institusi mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko jangkitan," katanya.

Antaranya adalah dengan amalan mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.

Selain itu perlu amalkan etika batuk dan bersin yang betul iaitu dengan menutup mulut dan hidung semasa batuk dan bersin, serta tidak berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu dan sudu.

Sentiasa mengekalkan kebersihan sama ada di rumah, pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah, dan persekitarannya.

Penyakit HFMD disebabkan oleh Enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71). Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.