IPOH: Sejumlah 45 murid di beberapa daerah negeri ini antaranya Kinta Utara, Kinta Selatan, Larut, Matang dan Selama, Muallim dan Kerian dikesan menghidap penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata sehubungan itu terdapat beberapa kelas prasekolah dan sekolah rendah diarah tutup oleh Pejabat Kesihatan Daerah selama sepuluh hari.

"... murid yang terlibat diberi cuti kuarantin bagi membendung penyakit tersebut daripada terus merebak," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pesta Buku Perak 2023 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Bagaimanapun Khairudin berkata penularan HFMD di negeri ini belum berada di tahap yang membimbangkan namun pihak berkaitan telah mengambil langkah kawalan sewajarnya supaya ia tidak berleluasa.

Dalam perkembangan lain Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak masih menunggu hasil siasatan polis sebelum mengambil tindakan terhadap pelajar sebuah sekolah menengah di Gunung Rapat yang terlibat dalam kes buli, bulan lepas.

Beliau berkata sekiranya terdapat perkara menyalahi undang-undang dalam kes berkenaan, tindakan berlandaskan prosedur operasi standartd (SOP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan diambil terhadap pelajar terbabit.

Katanya ketika ini kedua-dua mereka iaitu pelajar Tingkatan Tiga yang mengalami kecederaan akibat dibuli seorang lagi pelajar Tingkatan Lima sekolah itu dibenarkan bersekolah seperti biasa.

"Kedua-dua pelajar itu boleh hadir ke sekolah seperti biasa bergantung kepada kebenaran daripada ibu bapa masing-masing.

"Pihak sekolah juga telah mengambil SOP tertentu bagi mengelakkan kejadian buli tidak berulang lagi," katanya.

Pada 26 Julai lalu, Khairudin dilaporkan pelajar lelaki terlibat merupakan atlet sepak takraw dibuli dengan mangsa ditendang dan dipijak oleh seorang pelajar senior.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan dilapor berkata pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada 24 Julai lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

-- BERNAMA