NATIONAL
Kes Ismail Sabri: SPRM rekod keterangan Jovian bulan depan - Azam Baki

Tan Sri Azam Baki berkata, pegawainya telah berjaya menghubungi Jovian berhubung perkara berkenaan. - Gambar fail
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan merekod keterangan bekas menantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, iaitu Datuk Jovian Mandagie, pada bulan depan.
Ringkasan AI
- SPRM akan merekod keterangan Datuk Jovian Mandagie, bekas menantu Ismail Sabri, di Jakarta bulan depan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu.
- Jovian dinamakan sebagai saksi oleh Ismail Sabri untuk mengesahkan aset yang diisytiharkan kepada SPRM, dan pegawai SPRM telah berjaya menghubunginya.
- Siasatan terhadap Ismail Sabri melibatkan perbelanjaan dan dana promosi program Keluarga Malaysia semasa beliau menjadi Perdana Menteri, di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta AMLA 2001.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawainya telah berjaya menghubungi Jovian berhubung perkara berkenaan.
"Ya, pegawai saya sudah dapat menghubungi beliau (Jovian). Dijangka kita akan mengambil keterangannya dalam beberapa hari selepas Hari Raya Haji," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dalam sidang akhbar minggu lalu, Azam berkata, Jovian merupakan saksi yang dinamakan oleh Ismail Sabri ketika keterangannya direkodkan sebelum ini, bagi mengesahkan aset yang diisytihar kepada SPRM.
SPRM akan pergi berjumpa dengan bekas menantu Ismail Sabri yang kini berada dan menetap di Indonesia.
Setakat ini, SPRM masih dalam proses menganalisis semua aset yang terlibat kerana sumber pendapatan Ismail Sabri terlalu banyak, memandangkan beliau pernah berkhidmat dalam pelbagai sektor termasuk sektor swasta, selain memiliki beberapa syarikat ketika bukan berada dalam pentadbiran kerajaan.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Ahli Parlimen Bera itu disiasat berkaitan perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia sepanjang tempoh pentadbirannya sebagai Perdana Menteri, dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes berkenaan disiasat mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami