KUALA LUMPUR: Kes jenayah komersial merekodkan peningkatan sebanyak 53.2 peratus dengan nilai kerugian dianggar mencecah RM14.33 bilion dalam tempoh lima tahun, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Beliau berkata peningkatan itu berpunca daripada ledakan teknologi dan perkembangan dunia telekomunikasi sekali gus menyebabkan kewujudan pelbagai modus operandi penipuan baharu.

"Perkembangan teknologi ini akan memberikan kesan kepada peningkatan kes-kes jenayah komersial dan berdasarkan rekod, kes jenayah berkenaan mencatatkan peningkatan saban tahun," katanya pada sidang media khas JSJK di sini hari ini.

Menurut Ramli nilai kerugian yang direkodkan pada 2019 ialah sebanyak RM6.217 bilion melibatkan 26,330 kes, 2020 (RM2.064 bilion, 27,323 kes), 2021 (RM2.206 bilion, 31,490 kes), 2022 (RM1.733 bilion, 30,536 kes) manakala 2023 (RM2.11 bilion, 40,350 kes).

Mengulas lanjut berkaitan peningkatan kes jenayah komersial, beliau mengakui ia telah memberikan cabaran yang besar kepada JSJK memandangkan sepanjang lima tahun kebelakangan ini, jumlah pegawai penyiasat jabatan itu adalah terhad.

"Jika diukur berdasarkan kekuatan semasa iaitu terdapat sebanyak 839 pegawai penyiasat, nisbah bagi pegawai penyiasat dan kertas siasatan yang dibuka adalah 1:48.

"Jumlah 48 kertas siasatan bagi satu tahun bukanlah satu angka yang ideal bagi seorang pegawai penyiasat, ini tidak termasuk kes-kes tahun sebelumnya dan penugasan lain yang juga perlu dilaksanakan," katanya.

Ramli berkata sehubungan itu, JSJK sedang berusaha menambah bilangan keanggotaan dengan lebih intensif pada tahun ini.

-- BERNAMA