TAWAU: Takziah kepada keluarga mangsa dan beri peluang kepada polis untuk menjalankan tugas hingga selesai siasatan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung insiden kematian pelajar lelaki disyaki dilanggar kereta dipandu pegawai kanan polis, semalam.

Saifuddin berkata kes yang berlaku di Ipoh, Perak itu sedang disiasat pihak polis dan tangkapan sudah dilakukan, selain kertas siasatan dibuka.

"Apabila semua proses selesai, saya percaya pasukan polis akan beri kemas kini tentang status siasatan dan langkah seterusnya...biar proses itu berlaku sebagai tanda mengakui bahawa itu dalam ruang tugas pasukan polis setelah insiden berlaku.

"Saya yakin pasukan polis akan melakukan tugas dengan penuh tanggungjawab dan profesional mengikut undang-undang," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini hari ini.

Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya didakwa dikejar dan dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta dipandu lelaki berusia 44 tahun berhampiran sekolah berkenaan.

Mengulas isu lain, Saifuddin berkata proses menaik taraf 151 pos keselamatan Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Perlis hingga ke Sabah sedang berjalan lancar selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan RM45 juta pada Jun lepas khusus untuk menyegerakan kerja-kerja naik taraf pos kawalan.

"Semalam, saya ditemani Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Keselamatan Awam Datuk Hazani Ghazali ke satu lokasi di Kalabakan dan kami melihat sendiri pos keselamatan PGA (Pasukan Gerakan Am) berjaya di naik taraf hampir sempurna, boleh dikatakan 90 peratus berbanding keadaan sebelum itu iaitu hanya khemah biasa," katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata terdapat cadangan membina pos keselamatan PGA di pantai timur Sabah namun belum dimuktamadkan kerana perlu melalui tiga proses termasuk dua peringkat jawatankuasa dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sempadan, apabila cadangan itu diterima sudah tentu kita akan bincang untuk melihat kewajaran sesuatu cadangan itu, bilangan, lokasi dan semuanya akan diperincikan melalui syor yang diangkat kepada jawatankuasa," katanya.

Beliau turut memuji pengurusan IPD Tawau dalam melaksanakan 16 projek berkaitan aspek penambahan serta naik taraf kemudahan dengan sempurna serta mengikut jadual, termasuk di peringkat balai yang bernilai lebih RM3 juta sepanjang tahun ini.

"Melangkah tahun 2024, kompleks IPD tawau yang terdiri daripada 11 blok pegawai dan anggota dicadang beberapa kemudahan untuk dinaik taraf termasuk surau kepada masjid, yang ada keperluan selain berkaitan keselesaan tempat tinggal, keperluan asas ini adalah keutamaan kami di KDN.

"Kebetulan perkara ini diangkat oleh Ketua Polis Daerah Tawau Jasmin Hussin kepada saya dan Ketua Setiausaha memudahkan untuk dikemukakan di peringkat perancangan strategik kementerian dalam rolling plan," katanya.

-- BERNAMA