MALAYSIA
Kes pelajar IKBN Miri: Polis sedia buka kertas siasatan jika ada unsur buli - KPN

Mohd Khalid menegaskan bahawa siasatan akan dijalankan sekiranya laporan polis dibuat dan terdapat elemen jenayah. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kertas siasatan sekiranya menerima laporan rasmi dan mendapati terdapat unsur jenayah dalam insiden melibatkan pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, Sarawak yang tular baru-baru ini.
Ringkasan AI
- PDRM akan membuka kertas siasatan sekiranya menerima laporan rasmi dan mendapati terdapat unsur jenayah dalam insiden melibatkan pelajar IKBN Miri yang tular, walaupun ia sebelum ini diklasifikasikan sebagai gurauan sempena hari lahir.
- Ketua Polis Negara menegaskan bahawa siasatan teliti akan dijalankan bagi memastikan tindakan undang-undang tidak menjejaskan golongan bawah umur, selaras dengan undang-undang antibuli yang telah diperkenalkan.
- PDRM bersama agensi berkaitan akan terus memantau insiden tersebut dan tidak berkompromi sekiranya wujud bukti baharu yang menunjukkan unsur jenayah buli, dengan tindakan lanjut akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
“Kalau ada laporan polis dan sebagainya, kita akan buka kertas siasatan. Ia bukan bermaksud menolak siasatan atau mengklasifikasikan insiden itu sebagai gurauan melampau semata-mata.
“Polis akan menyiasat sekiranya ada sebarang unsur jenayah, selain meneliti keseluruhan fakta sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menentukan sama ada berlaku kesalahan berkaitan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Rabu.
Mohd Khalid turut menekankan bahawa pihaknya memandang serius setiap laporan berkaitan kes buli, dan siasatan teliti perlu dijalankan agar tindakan undang-undang tidak menjejaskan golongan bawah umur.
“Sebarang kes melibatkan buli, kita sudah memperkenalkan undang-undang antibuli. Jadi banyak perkara berkaitan yang memerlukan siasatan rapi.
“Polis juga perlu memastikan tindakan undang-undang yang diambil tidak menjejaskan terutama sekali kanak-kanak bawah umur, sama seperti (inkues) kes Zara Qairina Mahathir yang sedang berlangsung. Kita tidak digalakkan untuk komen atau mengulas sebarang perkara berkaitan,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, mengesahkan bahawa pelajar lelaki terbabit menafikan dirinya dibuli.
Sebaliknya, kejadian yang tular itu dikatakan sebagai gurauan rakan sempena sambutan hari lahir pada 19 September lalu.
Beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah memanggil pegawai IKBN Miri, ibu bapa serta semua pelajar terbabit berusia antara 18 hingga 24 tahun untuk diambil keterangan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami