NATIONAL
Kes peniaga belon: Lelaki didenda RM6,000 tuduhan hasut, ugut penguat kuasa DBKL

Mustafa Sulaiman dijatuhi hukuman denda RM6,000 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret kerana menghasut dan mengugut anggota penguat kuasa DBKL melalui kenyataan dalam WhatsApp. -Bernama
KUALA LUMPUR: Bapa lima anak didenda RM6,000 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku menghasut dan mengugut anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan insiden membabitkan peniaga belon yang tular hujung Mac lepas.
Ringkasan AI
- Bapa lima anak, Mustafa Sulaiman, dijatuhi hukuman denda RM6,000 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret kerana menghasut dan mengugut anggota penguat kuasa DBKL melalui kenyataan dalam WhatsApp.
- Dia didakwa di bawah Seksyen 505(b) dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas tuduhan membuat kenyataan berunsur hasutan dan ugutan terhadap penjawat awam, yang boleh membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda.
- Peguam memohon hukuman ringan atas faktor tanggungan keluarga dan tiada rekod jenayah, manakala pendakwa menegaskan kenyataan tertuduh berniat jahat dan mengancam keselamatan penguat kuasa.
Mustafa didakwa membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam terhadap Mohammad Shahli Zaini Mohd Zulkepli, 32, dengan niat hendak menghasut orang awam untuk melakukan sesuatu kesalahan terhadapnya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh juga didakwa menakutkan mangsa sama melalui kenyataan yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp dengan ugutan hendak menyebabkan kematian atau kecederaan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Menara Penguatkuasaan DBKL, Jalan Yaacob Latif Bandar Tun Razak, Cheras di sini pada 10.30 pagi 7 April lepas.
Terdahulu, peguam Dzafir Firdaus Ahmad Zubairy memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga yang menjaga lima anak, isteri dan mentua.
"Tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ia kesalahan pertama. Kenyataan anak guam saya tidak membawa sebarang hasutan dan ia hanya dihantar dalam kumpulan WhatsApp," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa pula memohon hukuman setimpal kerana tangkap layar WhatsApp tersebut memaparkan kenyataan berbaur ancaman, hasutan dan ugutan dengan niat terhadap penguat kuasa DBKL sebagai penjawat awam yang menguatkuasakan undang-undang.
"Tertuduh berniat jahat untuk menjejaskan reputasi dan imej Datuk Bandar serta menghasut untuk mendatangkan kecederaan kepada penguat kuasa DBKL," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami