PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan permohonan semakan kehakiman Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur yang lebih dikenali sebagai Rumah Bonda bagi mencabar tindakan Lak atau sita oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan terhadap premis berkenaan, dikembalikan untuk didengar di Mahkamah Tinggi.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said dalam keputusan sebulat suara berkata terdapat merit dalam rayuan Rumah Bonda dan mahkamah juga bersetuju permohonan itu akan didengar secara substantif.
"Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini diketepikan dan kebenaran diberikan kepada perayu untuk memulakan semakan kehakiman di mahkamah itu," kata beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dalam prosiding secara sidang video.
Mahkamah turut menetapkan 8 Ogos ini untuk sebutan kes di Mahkamah Tinggi.
Pada 15 Nov 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Rumah Bonda untuk mendapatkan kebenaran daripada mahkamah bagi memulakan semakan kehakiman terhadap tindakan Lak atau sita terhadap premis berkenaan di Taman Setapak, susulan dakwaan penderaan remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella selepas membenarkan bantahan Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan tersebut.
Rumah Bonda selaku pemohon menerusi pengerusinya Siti Bainun Ahd Razali memfailkan permohonan itu pada 13 Ogos 2021 dengan menamakan Pengarah JKM Wilayah Persekutuan serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai responden pertama dan kedua.
Antara lain, Siti Bainun mendakwa Notis Tindakan Lak yang dikeluarkan JKM pada 9 Julai 2021 terhadap pemohon dan pelaksanaan tindakan itu pada 12 Julai tahun sama adalah dipengaruhi desakan masyarakat susulan laporan media mengenai dakwaan berlaku penderaan terhadap Bella yang tular pada 5 Julai 2021.
Siti Bainun mendakwa kedua-dua responden bertindak sedemikian sebagai suatu reaksi terburu-buru selepas desakan masyarakat yang menuntut JKM dan kerajaan mengambil tindakan tegas dalam kes itu sedangkan remaja tersebut tiada kaitan dan bukan penghuni Rumah Bonda.
Beliau memohon deklarasi bahawa sepanjang masa itu, Rumah Bonda sedang dalam proses permohonan pendaftaran dengan JKM, justeru ia bukan sebuah rumah perlindungan atau pusat jagaan haram.
Dalam prosiding hari ini, peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili Rumah Bonda berhujah bahawa kes itu berkepentingan awam dan mempunyai merit untuk didengar.
Peguam itu berhujah, pihak perayu dalam proses mendaftarkan Rumah Bonda sejak awal 2019 dan borang serta surat sokongan yang ditandatangani oleh responden pertama dan kedua untuk tujuan pendaftaran telah dihantar kepada JKM Wilayah Persekutuan.
"Pada masa itu, Jabatan Bomba telah meluluskan premis dan dua pihak lagi iaitu Jabatan Kesihatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menetapkan tarikh untuk membuat pemeriksaan.
"Namun, ketika itu negara mengalami pandemik COVID-19 menyukarkan dua agensi itu membuat pemeriksaan ke atas premis tersebut yang kemudiannya telah disita," kata Asiah yang turut memaklumkan tindakan Lak itu dibuat secara terburu-buru selepas lima hari kes Bella tular di media sosial pada 5 Julai 2021.
Peguam Kanan Persekutuan Nur Idayu Amir pula berhujah, dakwaan kes itu melibatkan kepentingan awam adalah tidak benar kerana tindakan Lak dilakukan selepas mendapati Rumah Bonda tidak berdaftar dengan JKM Wilayah Persekutuan dan beroperasi secara haram.
"Tiada bukti menunjukkan penglibatan aktif responden kedua dalam membuat keputusan untuk menyita rumah kebajikan itu. Lak dibuka selepas perayu membayar kompaun," katanya.
Pada 3 Mei lepas, Mahkamah Sesyen memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman apabila didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Jul 25 2023
Panel tiga hakim mendapati terdapat merit dalam rayuan Rumah Bonda dan mahkamah juga bersetuju permohonan itu akan didengar secara substantif. -Gambar hiasan
Jualan kenderaan baharu Malaysia turun lapan peratus pada November 2024 - MAA
Jualan kenderaan baharu Malaysia turun lapan peratus tahun ke tahun kepada 67,523 unit pada November 2024, susut daripada 73,262 unit pada bulan yang sama tahun lepas.
Prospek sektor korporat neutral pada 2025 - Fitch Ratings
Fitch Ratings berpandangan neutral terhadap sektor korporat Asia Pasifik (APAC) pada 2025.
MCMC peruntuk RM13.7 juta baik pulih WiFi di UM, USIM, UniMAP - Fahmi
MCMC peruntuk RM13.7 juta bagi tingkatkan akses internet di tiga universiti awam Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
IPT di negara ini sedia kuasa AI sepenuhnya
Institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini sudah bersedia menguasai bidang kecerdasan buatan (AI) sepenuhnya.
Sembilan siri latihan polis bantuan dirancang tahun depan
Sebanyak sembilan siri latihan polis bantuan dirancang untuk dilaksanakan di seluruh negara tahun hadapan berikutan permintaan yang semakin meningkat.
Pesaka sasar tujuh pingat emas di Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2024
Pesaka meletakkan sasaran tujuh emas sama seperti edisi lepas bagi kontinjen pesilat negara yang akan membawa cabaran ke Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2024 di Abu Dhabi.
MRA salur bantuan banjir bernilai lebih RM429,000
Sumbangan itu merangkumi bantuan makanan, bukan makanan dan perkhidmatan.
300 stesen pengecasan EV akan ditambah dalam tempoh dua tahun - Ab Rauf
Kerajaan Melaka cadang tambah hingga 300 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) dalam tempoh dua tahun akan datang, kata Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.
Tumpuan Sabtu – 14 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
10 Berita Pilihan - (13 Disember 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Kes Rumah Bonda cabar tindakan sita dikembalikan ke Mahkamah Tinggi
Panel tiga hakim mendapati terdapat merit dalam rayuan Rumah Bonda dan mahkamah juga bersetuju permohonan itu akan didengar secara substantif.