BUTTERWORTH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak supaya memberi ruang kepada proses undang-undang dalam kes bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa berkaitan.
Beliau berkata perkara itu kini di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.
“Bila sampai ke situ, bukan urusan saya, saya akan rujuk kepada SPRM atau Jabatan Peguam Negara... kita harus beri ruang untuk siasatan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sembilang di sini hari ini.
Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai surat yang dihantar Saravanan kepada beliau berhubung kes berkenaan.
Saravanan sebelum ini memaklumkan bahawa surat berkenaan bukan bertujuan meminta Perdana Menteri campur tangan atau menutup kes, sebaliknya untuk menjelaskan pendiriannya berhubung perkara itu.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tapah itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM1.097 juta berkaitan kelulusan kuota pekerja asing.
-- BERNAMA