KUALA LUMPUR: Pegawai Penyiasat, Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu bahawa terdapat unsur penderaan atau penganiayaan terhadap remaja sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.

Asisten Superitendan Rohaini Baharom berkata demikian ketika prosiding kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa atas kesalahan menganiaya, mengabaikan Bella sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-20 (SP-20) berkata, ia berdasarkan beberapa faktor iaitu siasatan awal daripada pegawai penyiasat terdahulu iaitu (SP-19) Inspektor Suhaili Mahad, 31, yang menyatakan Bella memberitahu kecederaan pada tubuhnya disebabkan air panas.

Menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad ketika pemeriksaan utama, Rohaini berkata, ia juga berdasarkan keterangan saksi-saksi yang tinggal dalam Rumah Bonda antaranya (SP-5), Yasmin Nahar Mahmood, 19.

“Keterangan juga diterima daripada kenalan rapat tertuduh yang menyatakan pernah melihat Siti Bainun mendera Bella dengan cara menyimbah air panas, memberi Bella makan cili dan najis serta mengurungnya di dobi selain makan minumnya tidak menentu.

“Siasatan terhadap keterangan doktor-doktor pakar yang merawat Bella juga berpendapat bahawa kejadian yang menimpa mangsa, berlanjutan dalam tempoh yang lama malah kecederaan bukan kerana disebabkan kemalangan atau perbuatan sendiri,” jelasnya.

Rohaini berkata, doktor pakar menyatakan punca kecederaan adalah disebabkan bahan hangat seperti air panas.

Selain itu saksi ini berkata, ia juga berdasarkan perbualan mesej menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ yang diterima oleh pegawai pelindung Bella dikenali Imran daripada tertuduh, yang memberitahu Bella mengalami kecederaan selepas terkena air panas.

Katanya, siasatan terhadap mesin penapis air juga mendapati ia berfungsi dengan baik dan tiada sebarang kerosakan pada suhu air panas atau sejuk.

Ketika disoal balas, Rohaini bersetuju apabila peguam Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun mencadangkan bahawa kesimpulan itu dibuat berdasarkan keterangan yang diperoleh daripada Yasmin.

Mohammad Farhan: Dalam keterangan, puan cakap, menerusi laporan perubatan, doktor yang mana satu maklumkan kecederaan Bella bukan disebabkan kemalangan tapi bentuk penderaan?

Rohaini: Pakar Pediatrik Dr Nizam Malik Bali Mohamed dari Hospital Tunku Azizah di sini menyatakan, dari segi pengalamannya ada berlaku unsur penderaan manakala keterangan Pegawai Perubatan Plastik Hospital Kuala Lumpur, Dr Sheshadri Sridar yang mengesahkan kecederaan yang dialami remaja itu disebabkan objek panas yang mengakibatkan luka kesan lecur serta kronik.

Mohammad Farhan: Mohon puan rujuk dua eksibit, berdasarkan laporan perubatan dua doktor ini, tunjukkan kepada mahkamah di manakah yang puan katakan doktor keluarkan laporan bahawa kecederaan yang dialami Bella adalah penderaan dan bukannya kemalangan.

Rohaini: Maaf Yang Ariff, saya tak boleh terangkan laporan yang disediakan dua pakar itu kerana saya bukan pakar perubatan.

Mohammad Farhan: Puan boleh baca laporan perubatan ini?

Rohaini: Boleh.

Mohammad Farhan: Jadi saya mohon puan tunjukkan kepada mahkamah, cari di mana perkataan penderaan yang puan maksudkan.

Rohaini: Maaf saya tak cakap daripada laporan perubatan tapi saya sebut daripada keterangan pakar-pakar yang merawat Bella.

Mohammad Farhan: Kalau macam itu, maksudnya rakaman percakapan dua doktor ini, mereka kata yang kecederaan Bella adalah satu bentuk penderaan?

Rohaini: Disyaki satu bentuk penderaan.

Mohammad Farhan: Maksudnya dapatan doktor tak mencukupi konklusif (meyakinkan).

Rohaini: Tidak setuju.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja sama. -- Sinar Harian