Perunding politik Datuk Habibul Rahman Kadir Shah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau menerima RM2.5 juta daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kata saksi pendakwaan ke-23 itu, wang tersebut diberikan untuk ‘manfaat politik BN’ (Barisan Nasional), diterima melalui cek pada 2 Februari 2015.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Habibul berkata cek itu dikeluarkan atas nama Zulkarnain & Co.

“Dana itu digunakan untuk operasi pertahanan politik dan risikan politik.

“Wang itu digunakan untuk ‘manfaat BN’ dan saya terima cek itu sendiri daripada Najib di Putrajaya,” katanya, di sini, hari ini, pada perbicaraan hari ke-11 kes Najib membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Wang yang dinyatakan itu, jelas Habibul, diuruskan oleh peguam peribadinya, Ashraf Abdul Razak, selain bagi mengelak daripada dikenakan cukai pendapatan.

BACA: Kes SRC: Dua saksi mengaku terima jutaan ringgit daripada Najib untuk manfaat BN

Rabu lalu, Ashraf memaklumkan mahkamah bahawa bekas firma guamannya sebelum ini menerima cek RM2.5 juta bagi anak guamnya itu.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ditanya sama ada beliau tahu sumber wang tersebut, Habibul berkata tidak mengetahuinya dan menyifatkannya sebagai “derma politik”.

“Sejak 1984 saya menyertai UMNO, semua orang cakap kalau anda jadi PM (Perdana Menteri), semua orang mahu beri anda derma untuk ada hubungan yang baik dengan anda,” katanya.

Selain itu, Habibul bersetuju bahawa "semua" presiden UMNO menguruskan wang parti.

Prosiding bersambung semula pada Khamis.