Hujah lisan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bermula hari ini dengan pasukan pembelaan memulakan hujah lisan

Peguam Farhan Read memulakan hujah lisannya pada hari pertama sesi hujah lisan kes tersebut berlangsung di Mahkamah Tinggi.

Dalam hujahnya, Farhan menyentuh salah satu pertuduhan terhadap Najib, di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Tegas beliau, di bawah pertuduhan ini, ia perlu dibuktikan Najib adalah penjawat awam; telah menggunakan kedudukannya dengan mengambil bahagian atau melibatkan diri dalam mesyuarat kabinet pada 17 Ogos, 2011 dan 8 Februari, 2012, yang mana mana Kabinet memutuskan untuk memberi jaminan kerajaan berkenaan dengan pinjaman SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP); dan, secara rasuah berhasrat memperolehi RM42 juta untuk dirinya sendiri.

Farhan memberitahu mahkamah, Najib tidak berniat untuk hadir ke mesyuarat Kabinet bagi mendapatkan RM42 juta dan menyatakan Najib menerima wang berkenaan hanya selepas dua atau tiga tahun kemudian.

Beliau berkata, perbualan antara ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dan bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu juga menunjukkan Najib tidak mengetahui mengenai perkara itu.

Selepas Farhan mengemukakan hujahnya, seorang lagi peguambela Harvinderjit Singh menyifatkan hujah pendakwaan sebagai lemah.

Menurut Harvinderjit, Najib bertindak untuk kepentingan negara dengan niat yang baik menerusi kelulusan pinjaman KWAP serta dalam mesyuarat Kabinet.

Dalam hujahnya juga Harvinderjit menegaskan, hujah pendakwaan bahawa Najib merancang untuk mencuri RM42 juta tidak masuk akal kerana SRC International mempunyai ahli lembaga pengarah dan telah melalui proses yang betul.

Pihak pendakwa telah menutup kesnya pada 27 Ogos lalu selepas mengemukakan 57 saksi sepanjang 58 hari perbicaraan bermula 3 April lepas di Mahkamah Tinggi di sini.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan mengemukakan lebih 750 barang kes termasuk dokumen bank berkaitan akaun bank milik Najib, dokumen pemindahan wang, minit mesyuarat dan Blackberry Messanger berhubung transaksi wang Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018 untuk berdepan tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan satu tuduhan salah guna kuasa berkaitan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos, beliau didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yang sama dan kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Najib, 66, merupakan Perdana Menteri pertama negara yang dihadapkan ke mahkamah. Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.