KUALA TERENGGANU: Cabar-mencabar dipercayai menjadi punca bekas Ketua Bahagian MCA Marang maut ditembak jirannya dalam kejadian di Wakaf Tapai, di sini Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar, berkata siasatan lanjut bagaimanapun masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca dan motif sebenar kejadian sehingga membawa kepada kejadian tembakan itu.

"Setakat ini kita sudah merakam keterangan beberapa orang saksi dan akan memanggil beberapa orang lagi bagi membantu siasatan," katanya di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau berkata, mayat mangsa berusia 65 tahun itu telah dituntut keluarganya sebaik selesai proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pada Sabtu.

Katanya, seorang lagi mangsa iaitu anak saudaranya berusia 45 tahun yang cedera sedang menerima rawatan di HSNZ dan berada dalam keadaan stabil.


Jenayah | Suspek tembak bekas Ketua Bahagian MCA direman

BACA: Bekas Ketua Bahagian MCA Marang maut ditembak, anak saudara parah

Pada Jumaat, Fong Swee Fuan, mengalami kecederaan di bahagian dada dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anak saudaranya pula parah selepas ditembak suspek yang juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menggunakan senapang patah.

Susulan kejadian yang berlaku kira-kira jam 2 petang itu, polis berjaya memberkas suspek kira-kira jam 4.20 petang jumaat di kawasan Durian Mentangau, Dungun.

Suspek yang berusia 56 tahun itu direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.