KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan kesemua suspek yang disyaki terlibat dalam kes tembak mati seorang lelaki tempatan di sebuah hotel di Bukit Bintang di sini, 3 Mei lalu telah selesai ditahan. 

Sebelum ini, tiga lelaki termasuk rakan sebilik mangsa, dipercayai suspek utama yang berada bersama-samanya dalam hotel berkenaan ketika kejadian ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada pihak pendakwaan.

"Tiada penahanan baharu. Semua suspek telah ditahan. Pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim memberitahu, hasil siasatan awal polis mendapati kejadian itu ada kaitan dengan urusan dadah.

Hasil tangkapan kesemua suspek, polis berjaya menjumpai dan merampas sepucuk pistol Revolver .38 serta enam butir peluru dan satu pistol semi auto Baretta bersama lapan butir peluru serta 1 kelopak peluru, yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

BACA: Lelaki ditemukan maut di bilik hotel dengan kesan tembakan di dahi

BACA: Kes tembak di Bukit Bintang: Dua suspek ditahan

Semakan mendapati, mangsa memiliki 13 rekod lampau, rata-ratanya berkaitan dadah dan satu daripadanya kes bunuh membabitkan siasatan di bawah Seksyen 302 serta kes culik.

Suspek utama pula mempunyai tujuh rekod lampau melibatkan kesalahan-kesalahan dadah.

Mangsa dan suspek utama itu berasal dari alamat sama di Johor manakala yang dua lagi beramat di Kuala Lumpur.