KUALA LUMPUR: Dua suspek warga tempatan yang diburu polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian kes tembak di sebuah hotel di Bukit Bintang pada Selasa lepas, berjaya ditahan semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur,  Datuk Azmi Abu Kassim berkata kedua-dua suspek lelaki warga tempatan masing-masing berusia 47 tahun dan 51 tahun berjaya diberkas di sekitar Puchong kira-kira 8.15 malam hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.


Polis turut merampas sepucuk pistol revolver 0.38 serta enam butir peluru dan sepucuk pistol semi auto barreta serta lapan peluru. 


Hasil siasatan, salah satu pistol berkenaan dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut. 


Turut dirampas sebuah motosikal jenis RS150 berwarna merah, dua topi keledar, dua helai baju, dua seluar, dua pasang kasut sukan, topi, beg silang dan telefon bimbit pelbagai jenama. 


Siasatan awal mendapati kesemua suspek dan mangsa berjumpa di dalam bilik hotel berkenaan berhubung urusan berkaitan jual beli dadah.


Semakan juga mendapati mangsa berusia 49 tahun itu mempunyai 14 rekod lampau berkaitan kes culik, bunuh dan majoritinya dadah manakala suspek pertama yang ditahan mempunyai tujuh rekod berkaitan dadah.

“Daripada soal siasat yang dilakukan ke atas dua tangkapan yang dibuat pada 4hb kita telah berjaya menjumpai dan merampas dua pucuk pistol, jenis .38 dan satu lagi jenis semi auto baretta dan kita percaya yang kita telah berjaya menyelesaikan kes ini,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Dalam kejadian jam 7 malam Selasa, seorang lelaki tempatan ditemukan maut dengan kesan tembakan di dahi di sebuah bilik hotel di Bukit Bintang, ibu negara sejam selepas mangsa mendaftar masuk. 


Insiden itu disedari seorang pekerja hotel berkenaan yang memasuki bilik tersebut dan menghubungi polis kira-kira 7 malam. 

Hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik di hotel berkenaan menemukan mayat mangsa berusia 49 tahun itu.


Seorang suspek telah berjaya ditahan di tempat kejadian sejurus selepas penemuan mayat mangsa dan direman selama enam hari bermula semalam hingga Isnin depan.


Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dibuat hari ini. 


Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Beliau turut memberi amaran agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggar undang-undang.

BACA: Lelaki ditemukan maut di bilik hotel dengan kesan tembakan di dahi


[TERKINI] Kes tembak hotel | Polis buru dua lelaki