KUALA LUMPUR:Seorang wartawan menerima ugutan bunuh susulan laporan kes empat penjenayah yang ditembak mati di Sungai Buloh pada 25 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng lai berkata, wartawan tersebut diugut menerusi panggilan telefon ketika berada di rumahnya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 28 Disember lalu.

“Hasil siasatan, polis telah menahan seorang suspek lelaki berusia 52 tahun dipercayai terlibat dalam kes ini dan polis turut merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan untuk menghubungi pengadu,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

BACA: Empat penjenayah mati ditembak polis di Sungai Buloh

Menurut Beh Eng Lai, suspek juga merupakan bapa kepada salah seorang suspek yang ditembak dalam kejadian di Sungai Buloh itu.

Ugutan difahamkan akibat tidak berpuas hati dengan tindakan pengadu yang menyokong pihak polis menerusi artikel yang dibuat oleh pengadu.

Bagaimanapun, suspek yang menghubungi pengadu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau namun suspek adalah pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) mental.

Dalam kejadian pada Disember lalu itu, empat penjenayah berkenaan dipercayai telah menyamun sebuah rumah di Rawang sebelum mereka ditembak mati sepasukan polis di Sungai Buloh.

Mereka juga didapati terbabit dalam lebih 50 kes samun bertopeng di Selangor sejak awal tahun ini.


Empat penjenayah mati ditembak polis