KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan tindakan pihak bertanggungjawab menggunakan logo rasmi PDRM tanpa kebenaran bagi menyebarkan fakta tidak sahih berhubung kes penemuan mayat seorang wanita berusia 19 tahun di Kampung Simah, Ketereh di sini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata perbuatan itu dikesan sengaja dilakukan bagi menimbulkan persepsi seolah-olah kandungan itu merupakan kenyataan rasmi daripada PDRM.
Advertisement
Mohd Yusoff berkata pihak terbabit juga didapati menggunakan gambar rasmi beliau bagi menarik perhatian awam berserta paparan tajuk sensasi yang boleh mengelirukan.
"Antara kandungan yang dikesan merangkumi penyebaran spekulasi berkait latar belakang suspek, di samping tindakan mengeksploitasi kenyataan rasmi PDRM dengan cara menokok tambah maklumat asal," katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan perbuatan menularkan pelbagai maklumat tidak sahih di media sosial itu, satu laporan polis dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Mohd Yusoff menegaskan sebarang penyebaran maklumat palsu atau mengelirukan, bukan sahaja boleh menimbulkan kegusaran awam, malah boleh mengganggu dan menjejaskan proses siasatan yang sedang dijalankan.
Sehubungan itu, orang ramai diseru agar menjadi pengguna media sosial lebih bertanggungjawab dengan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya.
"Masyarakat juga dinasihatkan supaya mengelak daripada membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.
"Kerjasama daripada semua pihak amatlah dihargai bagi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara serta proses siasatan dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan," katanya.
Pada Sabtu lepas, mayat seorang wanita ditemukan dengan 61 kesan tikaman di atas jalan raya berhampiran kawasan sawah Kampung Simah, Ketereh di sini, yang dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum dibuang di situ.
Susulan kejadian itu, empat suspek terdiri daripada tiga lelaki berusia 19 hingga 66 tahun dan seorang wanita 60 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA