KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepas dan membebaskan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun daripada pertuduhan membunuh.
Menurut kenyataannya pada Khamis, Notis Rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan pada 22 September lalu selepas jabatan itu mempertimbangkan keputusan mahkamah pada 14 September.
“Jabatan ini telah memfailkan Notis Rayuan di Mahkamah Rayuan Malaysia pada 22 September 2026 bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut,” menurut kenyataannya hari ini.
Mahkamah Tinggi sebelum ini melepas dan membebaskan remaja berkenaan pada akhir kes pembelaan selepas mendapati dia tidak waras ketika kejadian.
Menurut peguam remaja itu, Kitson Foong, mahkamah menerima keterangan pakar psikiatri bahawa anak guamnya menghidap skizofrenia.
Hakim Adlin Abdul Majid turut memerintahkan remaja berkenaan ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, bagi menjalani rawatan.
Remaja itu didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di tandas sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, pada 14 Oktober tahun lalu.