KUCHING: Sejak 18 Ogos lalu, Sarawak mencatatkan nilai empat angka kes positif COVID-19 berturut-turut sehingga merekodkan kes tertinggi harian negeri itu pada 6 September dengan 3,714 kes.

Malah kes yang dilaporkan hari ini sebanyak 3,200 menjadikan Sarawak sebagai negeri yang merekodkan kes tertinggi di seluruh Malaysia bagi dua hari berturut-turut.

Tumpuan laporan harian kes positif kepada negeri Bumi Kenyalang dibuat susulan kadar vaksinasi populasi dewasa di negeri tersebut yang sudah mencapai lebih 80 peratus.

Melihat kepada kadar jangkitan yang tinggi walaupun kadar vaksinasi yang memberangsangkan di negeri itu, Pengarah Kesihatan Sarawak Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed meminta penduduk negeri itu tidak panik.

Ini kerana, 99 peratus penularan kes positif hanya melibatkan Kategori 1 dan 2 dan tiada kesan jangkitan yang teruk.

Jelas beliau, apa yang lebih penting penularannya masih dapat dikawal selain pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan selain vaksinasi.

"Walaupun vaksinasi tidak boleh menghalang seorang penerima vaksin itu dijangkiti, tetapi kemungkinan untuk dia mendapat jangkitan Kategori 3, 4, dan 5 adalah kurang.

"Oleh sebab itu, kita nampak dekat Sarawak walaupun kes tinggi, tetapi jumlah kes yang memerlukan katil-katil di ICU (Unit Rawatan Rapi) masih rendah dan kita masih boleh menampung kes-kes yang kritikal di semua hospital di Sarawak,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

Untuk rekod, setakat Isnin 87.7 peratus daripada populasi dewasa di Sarawak sudah lengkap menerima vaksin.

Selain itu, pelbagai langkah menangani COVID-19 telah diubah suai kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak termasuk mula membenarkan kes positif Kategori 1 dan 2 untuk melaksanakan kuarantin kendiri di rumah.

Selain untuk meringankan beban di fasiliti kesihatan, langkah itu juga bagi mendidik masyarakat untuk mengadaptasi norma baharu hidup bersama COVID-19.