KANGAR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan kes bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man yang menghadapi lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu berjumlah RM1.185 juta, dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim Norsalha Hamzah membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rehab Abdul Shukur, yang turut tidak dibantah oleh peguam Burhanudeen Abdul Wahid yang mewakili tertuduh.

Dalam permohonan itu, pihak pendakwaan memohon lima kes di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang dihadapi Azlan di Mahkamah Sesyen di sini untuk digabung dan didengar bersama dengan lima kes yang dihadapi tertuduh di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Permohonan penggabungan itu dibuat di bawah Seksyen 165 Kanun Tatacara Jenayah supaya kes di Mahkamah Sesyen di sini didengar bersama dengan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berikutan semua kes melibatkan saksi dan siasatan yang sama.

Pada 10 April lepas, Azlan, 64, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.185 juta antara 2013 dan 2017.

Mengikut kesemua pertuduhan, Azlan sebagai ejen kerajaan negeri Perlis iaitu Menteri Besar Perlis didakwa menggunakan beberapa dokumen mengandungi butiran palsu bagi membuat tuntutan kemudahan Cuti Seberang Laut ke London, United Kingdom sedangkan tidak ada perjalanan seperti yang dituntut itu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 12 April, Azlan turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta.

Hakim Azura Alwi menetapkan 9 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Azlan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh pada 2013 hingga 2018, sebelum memenangi kerusi DUN Bintong dari 2018 hingga tahun lepas, namun tewas pada Piihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Perlis dari 2013 hingga 2022 itu turut gagal mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar pada pemilihan parti, baru-baru ini.

-- BERNAMA