MELAKA: Kes jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) di Melaka susulan situasi jerebu yang melanda negara mencatatkan penurunan sebanyak 35.8 peratus kepada 339 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-35, berbanding 528 kes pada ME ke-34.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata kes asma turut merekodkan penurunan sebanyak 44.9 peratus kepada 54 kes pada ME ke-35, berbanding 98 kes pada ME ke-34.
Beliau bagaimanapun berkata kes konjunktivitis mencatatkan peningkatan sebanyak 60 peratus kepada 16 kes pada ME ke-35, berbanding 10 kes pada ME ke-34.
“Pemantauan dilaksanakan secara harian melalui tiga klinik sentinel, iaitu Klinik Kesihatan Tengkera, Klinik Kesihatan Bukit Rambai dan Klinik Kesihatan Masjid Tanah.
“Selain itu, Hospital Melaka adalah hospital sentinel bagi pemantauan kes rujukan berkaitan jerebu di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ngwe berkata perubahan trend kes ketiga-tiga penyakit berkenaan perlu ditafsirkan dengan berhati-hati memandangkan bilangan kes klinikal boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan tidak semestinya mencerminkan kesan jerebu semata-mata.
Beliau berkata selain perubahan tahap kualiti udara, kesan kesihatan akibat pendedahan kepada pencemaran udara juga boleh berlaku selepas suatu tempoh tertentu.
Justeru, Ngwe berkata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) akan terus memantau trend penyakit berkaitan jerebu serta status kualiti udara dari semasa ke semasa bagi membolehkan pengesanan awal sebarang peningkatan kes dan pelaksanaan intervensi kesihatan awam yang bersesuaian.
Dalam pada itu, beliau berkata JKNM telah dan sedang melaksanakan beberapa tindakan lain bagi memantau isu penyakit berkaitan jerebu, termasuk meningkatkan kesiapsiagaan fasiliti kesihatan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kehadiran dan kes penyakit berkaitan jerebu, khususnya dalam kalangan kumpulan rentan dan berisiko tinggi.
Menurut Ngwe, jabatan itu juga mempergiatkan komunikasi risiko, pendidikan dan promosi kesihatan kepada orang awam mengenai langkah-langkah mengurangkan pendedahan kepada jerebu, dengan memberi penekanan khusus kepada kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit respiratori dan kardiovaskular kronik.
“JKNM juga memastikan bekalan ubat-ubatan, peralatan dan keperluan berkaitan mencukupi bagi menjamin kesinambungan perkhidmatan serta rawatan kepada pesakit.
“Pemantauan bacaan Indeks Pencemar Udara turut dilakukan, selain memantau perkembangan situasi kualiti udara dari semasa ke semasa serta menyelaras tindakan kesihatan awam berdasarkan tahap keterukan dan risiko semasa,” katanya.
Beliau berkata JKNM juga memastikan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) yang diselaraskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Pelan Tindakan Pengurusan Kesihatan Akibat Jerebu Kementerian Kesihatan (KKM) dijadikan rujukan dalam penyelarasan kesiapsiagaan dan respons di peringkat negeri, daerah serta fasiliti kesihatan.
Menurut Ngwe, orang ramai dinasihatkan supaya melakukan beberapa langkah pencegahan, antaranya mengurangkan aktiviti fizikal yang lasak di luar rumah, mengurangkan tempoh pendedahan kepada udara luar, memakai pelitup muka yang sesuai apabila perlu berada di luar rumah, terutama bagi individu yang berisiko dan minum air kosong secukupnya bagi memastikan tubuh sentiasa terhidrat.
“Individu yang mengalami batuk, selesema, asma, sakit mata atau penyakit paru-paru kronik hendaklah segera mendapatkan rawatan di kemudahan kesihatan sekiranya gejala bertambah teruk,” katanya.
-- BERNAMA