PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 12 Mei bagi pengurusan kes selanjutnya rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Pengurusan kes rayuan itu dijalankan hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Dr Syahliza Warnoh.

Peguam Ahmad Zahid telah mengemukakan representasi pada Januari lepas memohon Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menghentikan rayuan pendakwaan.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada 26 Sept tahun lepas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Ahmad Zahid yang kini Timbalan Perdana Menteri, daripada semua pertuduhan selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Presiden UMNO itu mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta mengekalkan perjanjian kontrak dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.

Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Beliau juga didakwa atas 33 pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, iaitu beliau didakwa atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 dan 2017.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Country Heights Kajang antara Jun 2015 dan Oktober 2017.

Dalam petisyen rayuan difailkan pada 29 Dis tahun lepas, pihak pendakwaan mengemukakan 14 alasan tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi mengenai persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes tersebut.

-- BERNAMA