KUALA LUMPUR : Pemuda Perikatan Nasional (PN) akan menggerakkan himpunan ‘Gerakan Selamatkan Malaysia’ yang akan berlangsung di hadapan Kompleks Sogo pada Sabtu serentak dengan sambutan Hari Malaysia 2023.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perhimpunan itu dibuat berikutan keputusan mahkamah yang melepaskan tanpa bebas terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akal Budi.

"Kempen ini pada peringkat awalnya akan diadakan pada Hari Malaysia 2023 (Sabtu ini) pada jam 2 petang.

"Kita akan himpunkan segenap anak muda yang sayangkan negara. Kita minta mereka datang memakai baju putih, menandakan tanda cintakan negara, membawa bendera Malaysia untuk kempen ini," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu sidang media di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin, dan ADUN Gombak Setia, Hilman Idham.

Ujarnya lagi, gerakan tersebut bagi menyatakan isu berhubung sistem perundangan negara yang semakin membimbangkan.

"Isu ini membuka mata terhadap kegusaran rakyat berkenaan sistem keadilan negara dan ia dibahaskan secara terperinci oleh pihak berkepentingan seperti BERSIH (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) dan Majlis Peguam, malah parti dalam kerajaan hari ini minta penjelasan daripada Peguam Negara.

"Bagi kita, ia adalah suatu pencabulan terhadap sistem perundangan negara dan lebih memalukan, parti yang bercakap mengenai kedaulatan undang-undang dan menolak rasuah adalah DAP, tetapi DAP sudah mensucikan amalan seperti ini," katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat, penjelasan yang telah dikemukakan pihak Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung keputusan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu semakin mencetuskan pelbagai persoalan.

Bercakap mengenai himpunan tersebut, Ahmad Fadhli turut memaklumkan bahawa pihaknya akan mendapatkan permit daripada pihak berkuasa selain memastikan segalanya dilakukan berlandaskan undang-undang.

"Kes itu sudah sampai ke tahap prima facie. Jika betul beliau tidak bersalah, beliau boleh lawan di mahkamah dan kemukakan alasan dengan mudah dalam perbicaraan pembelaan diri.

"Kami melihat penjelasan AGC menimbulkan persoalan dan perbahasan dalam kalangan pengamal undang-undang. Bagaimana ia dilakukan dalam tempoh Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) sedia ada sedang bercuti dan Peguam Negara baharu (Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh) belum masuk pejabat lagi," ujarnya.

Ditanya mengenai penjelasan Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung keputusan DNAA terhadap Ahmad Zahid, Ahmad Fadhli mendakwa, penjelasan itu menimbulkan lebih banyak persoalan.