MALAYSIA
Kes Zara Qairina: 25 September tarikh sebutan semula kes

Hakim Elsie Primus menetapkan tarikh berkenaan selepas kesemua tertuduh tidak mengaku bersalah dalam prosiding yang diadakan secara tertutup itu.
KOTA KINABALU: Mahkamah Kanak-Kanak di sini, hari ini, menetapkan 25 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes lima remaja perempuan dituduh menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina Mahathir, bulan lepas.
Hakim Elsie Primus menetapkan tarikh berkenaan selepas kesemua tertuduh tidak mengaku bersalah dalam prosiding yang diadakan secara tertutup itu.
Mahkamah turut membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang.
Mereka didakwa dalam mencapai niat bersama, telah menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, 13, yang mana perkataan tersebut didengari oleh mangsa yang mungkin menyebabkan pelajar itu terganggu dengan perkataan tersebut.Kelima-lima pelajar didakwa melakukan perbuatan itu di blok Asrama Rabiatul Adawiyah Dorm A-3-6, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan W.D.T 15, Papar, dekat sini antara jam 10 malam dan 11 malam, pada 15 Julai lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, yang ditemui media hari ini, tidak banyak yang boleh didedahkan namun mengesahkan pertuduhan telah dibaca di depan hakim dengan kesemua tertuduh tidak mengaku bersalah.
"Tarikh 25 September (sebutan semula) dengan jaminan RM5,000, di mana RM1,000 wang deposit dengan seorang penjamin.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami