MALAYSIA
Kes Zayn Rayyan: Ayat kasar dalam mesej WhatsApp luahan emosi ibu penat - Pakar psikologi

Ismanira sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. - Gambar fail
PETALING JAYA: Perbualan mesej WhatsApp antara Ismanira Abdul Manaf dan suaminya yang mengandungi kata-kata kasar tidak boleh dianggap sebagai satu niat jenayah, sebaliknya adalah luahan emosi biasa seorang ibu yang menjaga dua anak autistik.
Ringkasan AI
- Pakar psikologi kanak-kanak menyatakan mesej WhatsApp antara Ismanira dan suaminya yang mengandungi kata-kata kasar adalah luahan emosi biasa seorang ibu dalam situasi cemas, bukan niat jenayah terhadap anak autistik mereka.
- Perbicaraan kes pengabaian terhadap Ismanira diteruskan dengan hujahan bertulis pada 8 September, hujahan balas pada 22 September dan keputusan akhir dijadualkan pada 31 Oktober 2025.
- Ismanira didakwa mengabaikan anaknya Zayn Rayyan antara 5 dan 6 Disember 2023, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.
“Daripada sudut penilaian saya, ini adalah perbualan biasa antara pasangan suami isteri. Ada ayat yang mungkin kedengaran kasar, tetapi ia hanya cakap-cakap kosong, luahan emosi yang tidak membawa maksud jahat,” katanya.
Beliau merujuk kepada beberapa mesej termasuk: “Haish, stress nak mati” dan “budak ni elok je tak ada pun aku pukul, tapi aku cakap belasah sebab geram dan marah sangat-sangat.”
Haresh (peguam bela): Mungkin Dr boleh jelaskan apakah maksud bagi mesej yang berbunyi ‘macam nak bunuh diri je sekarang’?
Dr Noor Aishah: Ini hanyalah satu bentuk luahan emosi ketika berdepan tekanan. Daripada pembacaan saya, keseluruhan mesej menunjukkan dia ibu yang penyayang, bukan individu yang berniat untuk mencederakan diri atau anak-anaknya. Walaupun ada keluhan dan ayat-ayat kasar, itu adalah normal untuk manusia biasa. Tiada sebarang niat jahat terhadap anak. Itu apa yang dapat saya kenal pasti daripada teks yang diberikan.
Haresh: Adakah perbualan sedemikian normal atau tidak sebagai suami isteri?
Noor Aishah: Pada saya ini adalah satu perkara yang normal. Sebab perkara ini adalah satu trend. Orang suka cakap macam itu untuk mendapatkan perhatian dariada pasangan kita supaya dia sama-sama faham apa yang kita tanggung waktu itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aqhari Durranie Aziz.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syahliza Warnoh bersambung semula pada 8 September bagi hujahan bertulis, 22 September bagi hujahan balas dan keputusan akhir pada 31 oktober 2025.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan 9.55 malam keesokannya, melibatkan kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke anak sungai berhampiran.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami