KUALA LUMPUR: Ada keperluan untuk meletakkan kaum suri rumah atau golongan wanita yang memilih untuk menjaga ahli keluarga seperti ibu bapa, warga emas, atau orang kurang upaya, dalam kategori mereka yang bekerja.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, sumbangan dan tanggungjawab golongan itu kepada pembangunan masyarakat juga tinggi.

Katanya lagi, meletakkan golongan tersebut dalam kategori wanita bekerja dapat melonjakkan kedudukan negara dalam indeks global berkaitan kesaksamaan gender.

“Ramai wanita mengambil peranan sebagai ibu, sebagai anak jaga orang tua, mungkin anak itu OKU dan sebagainya.

"Mereka mengambil keputusan untuk berhenti kerja, tetapi duduk di rumah dan sekarang ini duduk di rumah juga keadaan sudah berubah.

“Mereka boleh jana pendapatan dengan kerja online sebagai contoh dan juga menyumbang kepada negara.

"Gunakan platform ini untuk Jabatan Perangkawan, semua kementerian pembuat dasar, penggubal dasar … macam statistik yang berubah itu boleh digunakan untuk menyerlahkan lagi peranan wanita yang mungkin meletakkan kita di kedudukan lebih baik,” kata Rohani.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panelis Forum Mengorak Kuasa Kesaksamaan Gender: Memperkasa Suara Wanita Dan Kanak-Kanak Perempuan Bagi Membuka Peluang Dunia Tanpa Batas, di sini, hari ini.

Sebelum ini Laporan Jurang Gender Global 2022 (Global Gender Gap Report 2022) telah meletakkan Malaysia di tangga ke-103 daripada 146 negara bagi aspek merapatkan kesaksamaan gender.

Menurut Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kadar penyertaan tenaga buruh wanita dan penglibatan wanita dalam kelompok pembuat keputusan yang rendah telah mempengaruhi kedudukan Malaysia dalam laporan tersebut.

Turut menjadi panelis ialah Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Mohd Uzir; wakil UNFPA Malaysia, Tengku Aira Tengku Razif; dan Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM, Elya Nabila Abdul Bahri.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dalam ucapan perasmian melalui tayangan video berkata, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki dalam usaha mencapai kesaksamaan gender dan memperkasa wanita.

“Pelbagai inisiatif diperkenalkan dengan hasrat untuk merapatkan jurang pencapaian antara gender.

"Antara inisiatif terbaharu dilaksanakan adalah – KPWKM telah menguatkuasakan akta antigangguan seksual 2022 bagi memastikan golongan wanita di negara ini terus diperkasa.

“Di peringkat kementerian, kami akan terus berusaha meningkatkan program advokasi dengan kementerian dan agensi kerajaan bagi memastikan setiap dasar, perundangan, program dan bajet kerajaan tidak mempunyai unsur diskriminasi ke atas wanita,” katanya lagi.