GUA MUSANG: Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) telah melaksanakan tiga program utama untuk memenuhi hasrat generasi kedua dan ketiga memiliki rumah dengan peruntukan lebih RM50 juta.

Pengurus Besar Kesedar W Muhd Rahimi Wan Salleh berkata projek itu dilaksanakan di bawah Program Pemajuan Kawasan (PPK) dalam menyediakan unit rumah dan lot-lot perumahan di tiga lokasi berlainan bagi generasi kedua yang bilangannya hampir 10,000 orang.

"Kita telah membuat bancian mengenai generasi kedua di kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) dan kita mendapati bilangan generasi kedua sebanyak 14,000 orang, tetapi yang tinggal di kawasan ini kurang 10,000 orang.

"Untuk memenuhi hasrat mereka, Kesedar merancang beberapa projek utama antaranya kita telah melaksanakan PPK di RKT Paloh 2 dengan menyediakan 93 unit rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dilengkapkan dengan kemudahan surau, dewan dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita bersempena dengan Program Let's Gateh @ Paloh 2 di RKT Paloh semalam.

Beliau berkata pelaksanaan program utama itu melibatkan bantuan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Mengulas lanjut, W Rahimi berkata menerusi Projek Pertumbuhan Desa (PPD), agensi berkenaan turut menyediakan lot perumahan bagi generasi baharu yang ada antara mereka bekerja sendiri di ladang-ladang sawit kepunyaan ibu bapa.

"Peringkat yang kedua adalah kita menyediakan lot-lot perumahan kira-kira 300 lot di kawasan berhampiran PPK Paloh 2.

"Yang ketiga, kita juga ada perancangan untuk membangunkan kawasan penempatan di RKT Sungai Asap dan konsepnya menyediakan 100 lot perumahan untuk generasi kedua dan ketiga di kawasan Sungai Asap," katanya.

Beliau berkata projek itu telah dilaksanakan bermula tahun ini dan dijangkakan siap dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun.

"Kos projek PPK Paloh 2 mencapai hampir RM20 juta, manakala bagi PPD di Sungai Asap dan Paloh 2 mencecah lebih RM40 juta. Bagaimanapun, kita akan kemukakan kebenaran merancang untuk pertimbangan pihak berkuasa tempatan bagi kedua-dua kawasan (PPD) ini," katanya.

-- BERNAMA