Skip to main content

Malaysia

Kesedaran awal benteng cegah kanser serviks dalam kalangan wanita muda - Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR, July 3Pr -- Prime Minister’s wife Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail delivers the officiating speech during the launch of the 16th Malaysian Obstetric Anaesthesia Symposium (MyOASym) 2026 at Renaissance Convention Centre Kuala Lumpur today._BERNAMA
Dr Wan Azizah mencadangkan kerjasama strategik terus diperkasakan bagi memastikan lebih ramai wanita muda mendapat akses kepada maklumat kesihatan yang tepat dan berkualiti. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pendidikan kesihatan dan kesedaran awal berkenaan kanser serviks merupakan benteng utama dalam melindungi wanita muda daripada penyakit berkenaan, kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Justeru, isteri perdana menteri itu mencadangkan kerjasama strategik antara kerajaan, institusi pendidikan, sektor korporat dan pertubuhan masyarakat terus diperkasakan bagi memastikan lebih ramai wanita muda mendapat akses kepada maklumat kesihatan yang tepat dan berkualiti, khususnya kanser serviks. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Perisai Kesihatan Wanita Muda 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi, di sini hari ini.

Program anjuran Pertubuhan Inovasi Sosial Pembangunan Wanita Kuala Lumpur (WISDOM) dengan kerjasama beberapa rakan strategik itu menghimpunkan 200 pelajar perempuan, warga pendidik, agensi kerajaan dan sektor korporat.

WISDOM menerusi kenyataan memaklumkan program berkenaan bertujuan meningkatkan literasi kesihatan reproduktif serta memperkenalkan kepentingan vaksin HPV, penjagaan kebersihan, saringan awal dan amalan gaya hidup sihat sebagai langkah mencegah kanser serviks.

Sementara itu, Pengerusi WISDOM Akhmar Sari Mohd Nazri berkata penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pertubuhan itu dalam memperkasakan wanita melalui pendidikan, advokasi, pembangunan komuniti dan rohani.

“Kesedaran mengenai kanser serviks perlu diterapkan sejak usia remaja agar mereka lebih memahami kepentingan pencegahan, vaksinasi HPV serta saringan awal dalam melindungi kesihatan diri pada masa hadapan,” katanya.

Program itu turut mendapat sokongan Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cawangan Bandar Tun Razak, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Bandar Tun Razak serta Jabatan Penerangan Bandar Tun Razak dan Cheras (JAPEN-BTRC).

WISDOM berharap lebih banyak inisiatif seumpama itu diperluas ke sekolah dan komuniti di seluruh negara, khususnya di kawasan pedalaman bagi melahirkan generasi wanita yang lebih berpengetahuan, yakin dan proaktif dalam menjaga kesihatan diri.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement