SHAH ALAM: Aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja perlu diberi penekanan lebih serius terutama dalam kalangan industri kecil dan sederhana berikutan sebanyak 6,719 kes kemalangan di tempat kerja dilaporkan tahun lepas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata statistik daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) juga menunjukkan purata 2.22 orang bagi setiap 1,000 pekerja terlibat dalam kecederaan pekerjaan dan 2.06 orang bagi setiap 100,000 pekerja terlibat dalam kecederaan maut pekerjaan.

"Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak berkaitan termasuk majikan, pekerja dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersatu dalam usaha mereka memastikan tempat kerja kekal sebagai persekitaran yang selamat, sihat dan bebas daripada bahaya," katanya pada majlis penutupan Mesyuarat Agung Tahunan dan Persidangan Pertubuhan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Asia Pasifik (APOSHO) 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata ini termasuk dengan melaksanakan pelbagai aktiviti seperti latihan dan kursus jangka pendek bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan tempat kerja yang selamat dan sihat.

"Menjadi harapan saya untuk kita bersama-sama mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selamat dan sihat dengan pekerja boleh berkerja dengan yakin dan selesa.

"Dengan meningkatkan kesedaran dan perlindungan serta mengamalkan amalan baik, saya yakin kita boleh mengelakkan kemalangan, kecederaan dan penyakit berkait pekerjaan yang tidak diingini di tempat kerja," katanya.

Fadillah berkata persidangan dua hari bermula semalam itu, menyaksikan penyertaan tokoh-tokoh terkemuka tempatan dan antarabangsa dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) dengan tumpuan khusus kepada rantau Asia Pasifik.

"Persidangan seperti ini memainkan peranan penting dalam menangani cabaran semasa OSH dan membentuk masa depan OSH terutamanya di rantau Asia Pasifik.

"Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya memberi jaminan bahawa kami komited sepenuhnya dalam memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada sebarang inisiatif OSH, sama ada ia daripada sektor awam mahupun swasta," katanya.

-- BERNAMA